BERITA TERKINI   Reformasi pendanaan politik berkait secara langsung dengan pengukuhan integriti demokrasi, akauntabiliti dan keyakinan rakyat - Azalina | Pendanaan politik boleh buka ruang kepada konflik kepentingan, salahguna kuasa, rasuah dan pengaruh tidak wajar tanpa kerangka yang jelas - Azalina | DEB legasi penting Tun Razak, bukan dasar untungkan golongan elit, kroni - PM Anwar | Semarakkan semula obor perjuangan Tun Razak, hayati gagasan bina negara bangsa - PM Anwar | Tiga keutamaan pembaharuan tenaga ialah pasaran kompetitif, pemodenan grid dan kecekapan tenaga - Akmal Nasrullah | 
Ad Banner

SDEC Selangor Dijenamakan Semula Sebagai AiSEM@Selangor, Tingkat Tumpuan Pada AI, Semikonduktor

KUALA LUMPUR, 7 Sept  (Bernama) -- Konvensyen teknologi Selangor, yang dahulunya dikenali sebagai Konvensyen Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor (SDEC), dijenamakan semula sebagai AiSEM@Selangor, Sidang Kemuncak Kecerdasan Buatan (AI) dan Semikonduktor.

Penjenamaan semula itu mencerminkan tumpuan negeri yang lebih kukuh terhadap teknologi AI dan semikonduktor.

Penganjurnya, Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec), memaklumkan edisi ke-11 sidang kemuncak itu akan diadakan dari 14 hingga 17 Okt, 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dan Grand Hyatt Kuala Lumpur, sebagai sebahagian daripada Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2026.

Ad Banner

Advanced Semiconductor Academy of Malaysia (ASEM) akan menjadi penganjur bersama sidang kemuncak berkenaan, menurut Sidec dalam satu kenyataan.

“Memandangkan ekonomi digital semakin matang, AI and semikonduktor menghasilkan peluang yang lebih besar. AiSEM@Selangor meneruskan usaha itu dengan mengetengahkan cip buatan Malaysia yang menggerakkan robotik, sistem autonomi, serta ekonomi altitud rendah seperti dron dan orbit rendah iaitu satelit,” katanya.

Sidec mengumumkan sidang kemuncak itu akan menampilkan lebih daripada 60 penceramah, dengan Pengerusi ShunSin Technology Holdings Ltd dan Ahli Lembaga Pengarah Hon Hai Precision Industry Co Ltd (Foxconn), Chiang Shang Yi sebagai barisan utama penceramah.

Ad Banner
Ad Banner

Mereka akan disertai oleh Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif FuriosaAI, June Paik, Naib Presiden Global dan Pengerusi Synopsys Taiwan, Robert Li, Ketua Penyelesaian Awan Semikonduktor dan Teknologi Tinggi Amazon Web Services, Umar Shah, serta Ketua Pegawai Eksekutif TCab Tech, Yon Wui Ng.

Sidang kemuncak itu juga akan menampilkan lebih daripada 150 pempamer teknologi, termasuk pengeluar cip global Intel dan Sandisk, pemain tempatan seperti Oppstar, SkyeChip dan Maistorage Technology, serta agensi nasional termasuk MIDA, MRANTI dan beberapa pihak berkuasa tempatan (PBT) Selangor.

“Bagi mereka yang sedang mencari kerja, tarikannya ialah Hari Pengambilan Pekerja untuk Semikonduktor Malaysia, di mana lebih 50 majikan industri — termasuk Sandisk, Sophic MSC, dan Tektronix — akan bertemu secara terus dengan bakat kejuruteraan dan teknikal, daripada pelajar hingga profesional yang berpengalaman,” tambahnya.

Sidang kemuncak itu akan bermula dengan Hari Demo Terakhir Program Pemecut Tiga Kali Ganda (Triple Accelerator Programme Grand Final Demo Day) di Panggung Plenari, KLCC, pada 14 Oktober, menampilkan 24 finalis yang merangkumi lapan syarikat teratas daripada setiap trek Deep-X, Retail-X dan Token-X Selangor.

Sidec memaklumkan program itu telah melaksanakan 11 kohort sejak diperkenalkan dan menerima hampir 1,900 permohonan, serta menyokong 380 syarikat yang secara kolektif telah mengumpul pembiayaan sebanyak RM212 juta.

Ketua Pegawai Eksekutif Sidec Yong Kai Ping berkata sidang kemuncak itu akan menyumbang kepada usaha Malaysia untuk membina ekosistem AI dan semikonduktor yang berdaya saing di peringkat global dengan menghimpunkan bakat, teknologi dan pelaburan.

“Selangor melihat dirinya sebagai sebahagian daripada naratif semikonduktor nasional dan AiSEM — yang direka oleh Malaysia, untuk Malaysia — adalah sumbangan kami dalam menjayakan usaha itu dengan menghimpunkan bakat, teknologi dan pelaburan di bawah satu bumbung pada minggu yang sama,” katanya.

Pameran dan Hari Pengambilan Pekerja untuk Semikonduktor Malaysia adalah percuma, manakala pas persidangan berharga RM399 untuk pas akses penuh dua hari atau RM299 untuk pas sehari.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat berkaitan mengenai AiSEM@Selangor di https://www.sidec.com.my/aisemselangor/.

-- BERNAMA