BERITA TERKINI   Bencana Nepal: Kerajaan mohon kebenaran hantar pakar DNA bantu kenal pasti jasad mangsa - Mohamad Hasan | Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta usahakan penyelesaian terbaik bantu rakyat terkandas susulan letusan gunung berapi - Mohamad Hasan | Malaysia dan Thailand selaras kerjasama pelbagai agensi isu keselamatan sempadan - Mohamad Hasan | Sasaran 31 peratus sumbangan syarikat Bumiputera kepada KDNK menjelang 2035 akan disemak pada akhir tahun ini atau awal tahun depan - Akmal Nasrullah | Anak syarikat Pekat Group memperoleh tiga subkontrak berkaitan projek pusat data hiperskala di Johor Bahru bernilai RM57.18 juta | 
Ad Banner

Logistik Pintar Modenkan Pergerakan Kargo Rentas Sempadan Malaysia-Singapura - FedEx

Oleh Mohamad Syazwan Mustafa

SINGAPURA, 7 Sept (Bernama) -- Pengendali logistik ekspres kini sedang mengintegrasikan kecerdasan buatan (AI) dan teknologi pemantauan jarak jauh merentasi rangkaian pengangkutan darat mereka untuk meningkatkan kecekapan pengangkutan rentas sempadan menjelang penyepaduan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

Pengarah urusan FedEx Malaysia Woon Tien Long berkata ketika jumlah perdagangan berkembang di koridor selatan, pemain industri beralih daripada proses manual tradisional kepada platform digital yang menyokong pelanggan sepanjang masa dan menjamin keselamatan kargo dalam transit.

Ad Banner

Beliau berkata inovasi digital, terutamanya operasi pelanggan yang dipacu AI, penting untuk menangani peningkatan kerumitan pergerakan perdagangan rentas sempadan.

“Bagi kami, AI adalah tentang keupayaan untuk melakukan pelbagai perkara pada satu-satu masa dan kemungkinan yang diciptakannya untuk pelanggan kami.

“Memang benar produktiviti bertambah baik dan kos menurun, tetapi itu bukanlah segala-galanya,” kata Woon kepada Bernama semasa Jelajah Media Rentas Sempadan FedEx Johor-Singapura di Hab Serantau Pasifik Selatan FedEx di Singapura.

Ad Banner
Ad Banner

“Biasanya apabila anda menghubungi kami untuk sebarang pertanyaan, tenaga kerja kami yang akan mengendalikan perbualan. Namun begitu tidak praktikal untuk meminta seseorang berjaga pada pukul dua pagi hanya untuk membalas pertanyaan pelanggan.

"Apabila anda membina teknologi untuk menyokong pelanggan anda 24 jam, pelanggan akan mendapat bantuan secara layan diri dan boleh berbual dengannya," katanya.

Woon berkata infrastruktur keselamatan fizikal dan darat sedang dinaik taraf dengan teknologi digital untuk melindungi pengangkutan barang yang bergerak di sepanjang Rangkaian Jalan Raya FedEx Asia yang penting, koridor jalan raya rentas sempadan sepanjang 3,800 kilometer dengan lebih 100 jadual mingguan yang menghubungkan Singapura, Malaysia dan Thailand.

Beliau berkata keupayaan pemantauan sedia ada rangkaian itu memberikan FedEx permulaan yang baik apabila jumlah pergerakan barangan rentas sempadannya meningkat di bawah JS-SEZ.

“Kami mempunyai pengetahuan, teknologi dan infrastruktur yang telah sedia ada. Kami mempunyai keupayaan untuk memantau dari jauh, dan dalam senario terburuk rampasan lebuh raya. Kami mempunyai keupayaan untuk mengunci kenderaan tersebut dari jauh untuk melindungi kakitangan, pemandu, serta kandungan dalam trak,” katanya.

"Kami mempunyai pemantauan di setiap lokasi kerana kami beroperasi merentasi pelbagai kawasan," katanya. 

Beliau berkata kemudahan di sepanjang koridor itu telah dibina untuk pengisihan automatik volum tinggi, yang diterajui oleh Hab Serantau FedEx South Pacific di Singapura, kemudahan seluas 26,265 meter persegi yang mampu mengasingkan sehingga 12,000 bungkusan sejam dan kemudahan FedEx Senai seluas 2,676 meter persegi di Johor, yang mengasingkan sehingga 1,600 bungkusan sejam menggunakan sistem penghantar automatik.

Beliau berkata untuk menampung lonjakan permintaan bermusim semasa tempoh puncak akhir tahun, FedEx boleh meningkatkan laluan rentas sempadannya ke Singapura sehingga 10 peratus melalui penggunaan pasukan penghantaran yang fleksibel, memastikan ketersambungan perdagangan tanpa gangguan di seluruh koridor.

Menurut FedEx, selain pengembangan operasi, syarikat itu komited kepada sasaran operasi global neutral karbon menjelang 2040 dan sedang dalam usaha menukarkan 30 peratus daripada 140 kenderaannya di Singapura kepada kenderaan elektrik (EV), dengan 43 EV digunakan di seluruh Malaysia.

Sementara itu, Woon berkata penjagaan alam sekitar terus menjadi satu yang penting dalam rantaian bekalan moden sambil menambah kotak FedEx direka bentuk untuk mudah dikitar semula dan menggunakan kira-kira 30 peratus daripada bahan kitar semula.

“Langkah pertama yang kami lakukan lama sebelum orang lain melakukannya adalah memastikan komposit kotak beralun kami mudah untuk dikitar semula.

“Langkah seterusnya dan lebih sukar ialah menggunakan semula bahan kitar semula itu ke dalam kotak tersebut,” katanya.

Beliau berkata plastik terus kekal menjadi cabaran utama dengan beberapa bahan seperti kepingan panel kompoist tertakluk kepada peraturan manakala pembalut regangan dikumpulkan dan dikitar semula dan palet dibaiki untuk digunakan semula sekiranya boleh.

Menurut FedEx, untuk mengelakkan kesesakan di sempadan tanpa berkompromi dengan keselamatan negara, penyedia logistik menyokong pelaksanaan lebih meluas terowong pengimbasan pandu lalu automatik di pusat pemeriksaan kastam.

Pengarah Urusan FedEx Singapura Eric Tan berkata sistem sedemikian, yang dipamerkan oleh Kastam Singapura dan Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan pada seminar tahunan mereka, membolehkan kenderaan barangan berat diimbas semasa dalam perjalanan tanpa pemunggahan manual.

“Pemandu lori akan memandu melalui bahagian yang kelihatan seperti terowong tanpa tidak perlu turun atau membuka pintu belakang kenderaan untuk pegawai membuat pemeriksaan, yang mana mengambil banyak masa yang lama.

"Sejujurnya, ia adalah suatu yang inovatif dan membawa perubahan yang besar," katanya.

Tan berkata inisiatif kedua, iaitu pelepasan permit kargo automatik sedang dibincangkan dengan pihak di Malaysia bagi melaksanakan kerjasama yang dapat memberi manfaat kepada trafik di kedua-dua arah.

Woon berkata usaha industri itu adalah untuk memastikan kargo bergerak selancar pergerakan penumpang, sambil mengekalkan kawalan kukuh penguatkuasaan.

“Kargo juga perlu sampai tepat pada masanya. Apa yang kami mahukan adalah perdagangan yang lancar untuk mana-mana perniagaan yang sah, dan kawalan yang perlu diwujudkan, kami menyokong sepenuhnya untuk memastikan kawalan tersebut kekal utuh” katanya.

-- BERNAMA