Belanjawan 2027: Industri Hartanah Harap Kerajaan Lanjutkan Pengecualian Duti Setem
KUALA LUMPUR, 7 Sept (Bernama) -- Industri hartanah berharap kerajaan menerusi Belanjawan 2027 akan melanjutkan pengecualian duti setem bagi pembeli rumah pertama serta melaksanakan langkah lain yang dapat meningkatkan aspek kemampuan dalam pemilikan rumah.
Pengasas Bersama merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan agensi hartanah industri Juwai IQI Kashif Ansari berkata pengecualian itu yang kini berkuat kuasa sehingga 31 Disember 2027, juga membantu pembeli menikmati penjimatan sehingga RM11,250 bagi pembelian rumah pertama.
“Pengecualian ini melibatkan penghapusan duti setem ke atas kedua-dua instrumen pindah milik dan perjanjian pinjaman bagi rakyat Malaysia yang membeli rumah pertama pada harga sehingga RM500,000.
“Ini penting kerana dapat membantu tiga daripada setiap empat pembeli, malah rumah berharga RM500,000 atau kurang yang layak menerima pengecualian ini juga adalah kira-kira 76 peratus daripada keseluruhan pembelian kediaman,” katanya dalam satu kenyataan.
Kashif berkata pengecualian itu juga membolehkan pembeli tidak perlu membuat sebarang pembayaran duti setem bagi instrumen pindah milik dan perjanjian pinjaman.
“Jika tidak dilanjutkan dalam Belanjawan 2027, ini boleh menjejaskan aspek bekalan atau penawaran rumah mampu milik,” katanya.
Pada masa sama, ketidaktentuan terhadap langkah pengecualian berkenaan pada 2028 pula berpotensi menyebabkan pemaju tidak berminat meneruskan projek yang dicadangkan sekarang, katanya.
Kashif juga berharap kerajaan dapat membantu pembeli mendapatkan pinjaman perumahan bagi segmen rumah mampu milik yang disifatkan beliau sebagai mencatat kadar penolakan pinjaman tertinggi.
Beliau berkata tiga daripada setiap lima permohonan itu ditolak sedangkan pada masa sama industri hartanah berharap lebih ramai yang dapat membeli kediaman serta memperoleh pinjaman sewajarnya.
Sehubungan itu, katanya, pihak industri berharap kerajaan dapat mengembalikan Kempen Pemilikan Rumah yang bukan setakat menawarkan pengecualian duti setem, tetapi juga diskaun oleh pihak pemaju.
“Kempen itu membolehkan kalangan pasangan muda yang membeli rumah pertama menikmati penjimatan sebanyak kira-kira RM45,000 bagi rumah yang berharga RM450,000 selain penjimatan duti setem kira-kira RM10,000,” katanya.
-- BERNAMA