Hengyuan, Shell Meterai Perjanjian Terikat Bagi Lanjutkan Pengambilan Produk Selama 10 Tahun
KUALA LUMPUR, 7 Sept (Bernama) -- Hengyuan Refining Company Bhd (HRC) memeterai perjanjian terikat dengan Shell Malaysia Trading Sdn Bhd (SMT) dan Shell Timur Sdn Bhd (STSB) (secara kolektif, Shell) bagi memperbaharui perjanjian pengambilan produk jangka panjang bagi tempoh 10 tahun.
HRC menyatakan pembaharuan itu bertujuan meneruskan pengaturan pengambilan produk jangka panjang di antara HRC dengan Shell yang akan terjalin lama iaitu dari 1 Jan, 2027 hingga 31 Dis, 2036.
Menurut syarikat itu, perjanjian ini akan berkuat kuasa untuk tempoh awal lima tahun dan boleh diperbaharui untuk tempoh lima tahun lagi, tertakluk kepada persetujuan bersama antara pihak-pihak berkenaan.
“Perjanjian terikat itu menetapkan terma komersial utama serta menyediakan rangka kerja bagi rundingan dan pemeteraian perjanjian muktamad untuk pengambilan produk.
“Pengaturan itu dijangka menyokong penempatan berterusan produk penapisan HRC serta kestabilan operasi penapisannya,” jelasnya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.
-- BERNAMA