BERITA TERKINI   Reformasi pendanaan politik berkait secara langsung dengan pengukuhan integriti demokrasi, akauntabiliti dan keyakinan rakyat - Azalina | Pendanaan politik boleh buka ruang kepada konflik kepentingan, salahguna kuasa, rasuah dan pengaruh tidak wajar tanpa kerangka yang jelas - Azalina | DEB legasi penting Tun Razak, bukan dasar untungkan golongan elit, kroni - PM Anwar | Semarakkan semula obor perjuangan Tun Razak, hayati gagasan bina negara bangsa - PM Anwar | Tiga keutamaan pembaharuan tenaga ialah pasaran kompetitif, pemodenan grid dan kecekapan tenaga - Akmal Nasrullah | 
Ad Banner

Kerajaan Perkukuh Peraturan, Kebolehjejakan Bagi Pacu Industri Sarung Tangan Getah

KUALA LUMPUR, 8 Sept (Bernama) -- Kerajaan sedang memperkukuhkan peraturan yang mengawal selia pembuatan dan eksport sarung tangan getah bagi menangani lebihan kapasiti industri sambil meningkatkan kebolehjejakan sarung tangan buatan Malaysia.

Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata langkah yang dilaksanakan menerusi Lembaga Getah Malaysia (LGM) itu akan membantu menggalakkan pertumbuhan yang mampan dan berdisplin. 

Teks ucapannya bagi merasmikan Persidangan & Pameran Sarung Tangan Getah Antarabangsa (IRGCE) 2026 di sini hari ini, dibacakan oleh Pengerusi Majlis Getah Malaysia (MRC) Datuk Seri Mohamad Suparadi Md Noor.

Ad Banner

Mengulas lanjut, Noraini berkata di bawah Peraturan-Peraturan (Permit dan Pelesenan) LGM 2014, hanya pengilang yang mempunyai lesen pengeluaran produk getah yang sah dan sesuai dibenarkan mengeluarkan sarung tangan getah di Malaysia. 

“Keperluan pelesenan adalah penting daripada perspektif kawal selia, kerana ia mengukuhkan kebertanggungjawapan, menyokong kualiti dan pematuhan produk.

“Ia turut menyediakan satu mekanisme bagi pengurusan kapasiti pembuatan yang lebih baik memandangkan industri sedang mengatasi isu lebihan kapasiti dan bergerak ke arah pertumbuhan yang lebih mampan dan berdisiplin,” katanya. 

Ad Banner
Ad Banner

Pada masa sama, beliau berkata LGM turut meningkatkan keperluan untuk eksport sarung tangan getah, dengan nombor lesen eksport dipaparkan pada bahan pembungkusan bagi memperkukuhkan kebolehjejakan dan kebertanggungjawapan sepanjang rantaian bekalan. 

Langkah itu akan menghalang aktiviti pemunggahan kargo dan memastikan Malaysia tidak menjadi laluan bagi produk yang dihasilkan di tempat lain untuk memasuki pasaran antarabangsa menggunakan sarung tangan buatan Malaysia. 

“Kami mahu memberi keyakinan kepada pasaran antarabangsa bahawa apabila sesuatu produk itu dikenali sebagai sarung tangan buatan Malaysia, ia turut disokong oleh proses pembuatan yang sebenar, pematuhan peraturan, kebolehjejakan dan piawaian industri yang diiktiraf,” katanya.

Selain itu, Noraini berkata industri mesti bergerak melangkaui persaingan terutamanya pada jumlah dan harga memandangkan persaingan global yang semakin sengit dan jangkaan yang lebih tinggi daripada pembeli. 

Beliau berkata pelaburan yang lebih besar dalam pembangunan dan penyelidikan, automasi, pendigitalan, kecerdasan buatan (AI) dan pembuatan termaju amat diperlukan untuk meningkatkan kecekapan, mengukuhkan prestasi produk dan memperkukuh keupayaan teknologi Malaysia. 

“Teknologi seperti pemeriksaan kualiti yang dipacu AI, sistem pengeluaran pintar, bahan termaju dan formulasi sarung tangan generasi akan datang berpotensi untuk meningkatkan kecekapan, mengukuhkan prestasi produk dan memperkukuh keupayaan teknologi Malaysia,” tambahnya. 

Sementara itu, IRGCE edisi ke-12 anjuran Persatuan Pengilang Sarung Tangan Getah Malaysia yang bertemakan ‘Menyepadukan Inovasi: Mendefinisikan Semula Masa Depan Ekosistem Sarung Tangan Getah’ itu menampilkan 605 reruai dan 215 pempamer dari pelbagai negara.

Ia menghimpunkan pemimpin industri, pakar teknikal, penyelidik dan pembuat dasar untuk bertukar-tukar pengetahuan, meneroka teknologi dan penyelesaian baharu, serta mewujudkan hubungan perniagaan. 

-- BERNAMA