Bursa Malaysia Rendah Pada Tengah Hari Berikutan Aktiviti Pengambilan Untung
KUALA LUMPUR, 8 Sept (Bernama) -- Bursa Malaysia rendah pada dagangan tengah hari berikutan aktiviti pengambilan untung yang berterusan dan sentimen terhadap aset berisiko yang semakin lemah.
Indeks Komposit Kuala Lumpur FTSE Bursa Malaysia (FBM KLCI) dijangka terus berdepan turun naik berikutan tekanan luaran dan domestik yang semakin meningkat.
Pada 12.30 tengah hari, FBM KLCI susut 2.71 mata kepada 1,712.08 daripada 1,714.79 ketika ditutup semalam.
Indeks petunjuk pasaran itu dibuka rendah, turun 1.65 mata kepada 1,713.14 dan bergerak antara 1,710.44 dengan 1,714.50 sepanjang dagangan sesi pagi.
Keseluruhan pasaran negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 537 berbanding 424, manakala 519 kaunter tidak berubah, 1,319 tidak diniagakan dan 25 yang lain digantung.
Jumlah dagangan sebanyak 2.59 bilion unit saham yang bernilai RM1.46 bilion.
Apex Securities Sdn Bhd memaklumkan antara tekanan luaran yang dihadapi termasuklah konflik di Asia Barat yang meningkat dengan mendadak hingga mendorong harga minyak naik kepada sekitar US$97 setong dan mengancam mencetuskan semula tekanan inflasi ketika pasaran menjangkakan dasar Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) yang lebih longgar.
Risiko berlakunya konfrontasi ketenteraan yang seterusnya berkemungkinan mengekalkan turun naik pasaran yang tinggi dalam masa terdekat.
Menurut firma pembrokeran saham itu, FBM KLCI dijangka terus diniagakan dalam julat terhad bagi tempoh terdekat apabila pelabur mengimbangi faktor domestik yang menyokong pasaran berbanding ketidaktentuan luaran yang berterusan, dengan tumpuan terarah kepada perkembangan di Asia Barat.
Ia memaklumkan pelabur juga akan menjadikan pergerakan hasil bon global dan data inflasi AS yang akan datang sebagai panduan untuk mendapatkan petunjuk seterusnya berhubung hala tuju dasar Fed.
“Kami kekal berhati-hati walaupun pasaran ditutup positif pada Isnin susulan harga minyak mentah yang tinggi dan hasil Perbendaharaan AS yang meningkat, yang boleh mengekalkan tekanan inflasi pada paras tinggi serta menjejaskan minat terhadap aset berisiko,” tambahnya.
Dalam kalangan saham berwajaran tinggi, Maybank susut 2.0 sen kepada RM10.56, Public Bank tidak berubah pada RM5.00, CIMB turun 3.0 sen kepada RM7.97, Tenaga meningkat 4.0 sen kepada RM13.88, manakala IHH Healthcare jatuh 7.0 sen kepada RM7.83.
Antara saham paling aktif, Zetrix AI naik 4.0 sen kepada 31 sen, syarikat baharu yang disenaraikan di Pasaran ACE, GTA Holdings susut setengah sen kepada 34.5 sen, Cuscapi menambah 1.5 sen kepada 6.0 sen, HHRG susut 1.5 sen kepada 19 sen dan Jaks Resources tidak berubah pada 12.5 sen.
Saham paling untung ialah United Plantations yang meningkat 86 sen kepada RM33.06, Nestle menambah 42 sen kepada RM94.32, ITMAX menokok 19 sen kepada RM4.44, Petronas Dagangan naik 18 sen kepada RM19.90 dan Sarawak Oil Palms melonjak 16 sen kepada RM19.06.
Dalam kalangan saham paling rugi diketuai oleh Malaysian Pacific Industries yang susut 38 sen kepada RM39.44, Malayan Cement merosot 27 sen kepada RM5.76, Petronas Gas dan Hong Leong Industries masing-masing susut 24 sen kepada RM17.46 dan RM17.16, serta Sunway jatuh 11 sen kepada RM4.85.
Di papan indeks, Indeks FBM Mid 70 naik 9.79 mata kepada 17,786.65 dan Indeks FBM ACE meningkat 12.69 mata kepada 5,271.00.
Indeks FBM Emas susut 10.35 mata kepada 12,650.14, Indeks FBM Top 100 berkurangan 13.03 mata kepada 12,454.02, manakala Indeks FBM Emas Shariah meningkat 4.45 mata kepada 12,414.98.
Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 34.60 mata kepada 20,154.14 mata, manakala Indeks Perladangan meningkat 33.88 mata kepada 9,422.56 mata.
Indeks Produk Perindustrian dan Perkhidmatan susut 0.23 mata kepada 186.73 dan Indeks Tenaga merosot 1.67 mata kepada 807.54.
-- BERNAMA