Pasaran Getah Dijangka Stabil Minggu Depan Susulan Kenaikan Harga Minyak
Oleh Siti Noor Afera Abu
KUALA LUMPUR, 12 Sept (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur dijangka kekal stabil minggu depan dengan kecenderungan meningkat sedikit berikutan harga minyak yang lebih tinggi.
Pakar industri Denis Low berkata harga minyak mentah mencecah US$108 setong pada Khamis dengan peningkatan mendadak itu dijangka memberi kesan ketara terhadap aktiviti perdagangan dan sektor industri.
Beliau memberitahu harga komoditi akan kekal tidak menentu bergantung kepada faktor penawaran dan permintaan, namun harga minyak yang lebih tinggi sudah pasti akan meningkatkan kos.
“Dalam pasaran getah, faktor penawaran dan permintaan sedang mengalami beberapa perubahan apabila semakin ramai pekebun serta pengilang beralih kepada pengeluaran getah kering yang lebih banyak berbanding lateks cecair pukal.
"Nampaknya kelebihan dari segi harga yang lebih baik memacu aliran ini,” katanya kepada Bernama.
Sementara itu, seorang lagi peniaga memaklumkan pasaran getah diniagakan lebih tinggi dengan Getah Mutu Malaysia 20 (GMM 20) mencatatkan paras tertinggi baharu bagi 2026 iaitu pada 1,021.5 sen sekilogram pada 9 September lepas iaitu paras tertingginya sejak 15 Feb, 2017.
Beliau berkata aliran peningkatan itu disokong oleh kenaikan dalam pasaran niaga hadapan getah serantau dan harga minyak mentah yang lebih kukuh.
Dalam pada itu, kebimbangan mengenai bekalan getah asli yang semakin terhad berikutan penurunan pengeluaran di Indonesia, hujan lebat di Thailand serta pengukuhan corak cuaca El Niño terus mengukuhkan sentimen pasaran.
“Petunjuk ekonomi dan automotif China yang lebih kukuh berserta dasar bagi menyokong industri automotif turut memberi sokongan kepada pasaran,” tambah beliau.
Bagi perbandingan minggu ke minggu (Jumaat ke Jumaat), harga rujukan Lembaga Getah Malaysia bagi GMM 20 naik 40 sen kepada 998.5 sen sekilogram manakala lateks pukal meningkat 22 sen kepada 712.5 sen sekilogram.
-- BERNAMA