BERITA TERKINI   Liga Super: Melaka FC 1-2 Kuching City FC | Jerebu: Semua sekolah di bawah seliaan PPD Serian dan Lubok Antu masih ditutup sehingga bacaan IPU di bawah 200 - JPNS | Jerebu: Sekolah menengah dan rendah dibawah seliaan 12 PPD di Sarawak yang ditutup sebelum ini dibuka semula pada Isnin ini - JPNS | Liga Super: Penang FC 3-2 KRW FC | Ahmad Zahid mahu lapan ikhtiar Agenda Malaysia Biru jadi fokus pemukiman Sekretariat Musyawarah Nasional di Melaka | 

Bank Islam Serah Hadiah Hampir RM2.5 Juta Kepada Lapan Pemenang Program, Kempen

KOTA BHARU, 12 Sept (Bernama) -- Bank Islam Malaysia Bhd (Bank Islam) menyerahkan hadiah bernilai hampir RM2.5 juta kepada lapan pemenang menerusi program iGAIN SME Fortune Drive 2025 dan kempen AWFAR 2026.

Ketua Pegawai Perniagaan Kumpulan (Perbankan Runcit) Bank Islam Mizan Masram berkata hadiah yang disampaikan sebagai penghargaan terhadap disiplin kewangan serta daya tahan keusahawanan pelanggan.

Beliau memberitahu penyampaian hadiah itu merupakan antara acara kemuncak Karnival Bank Islam 2026 dan tiga pemenang menerima hadiah menerusi program iGAIN SME Fortune Drive 2025 yang berlangsung dari 2 September sehingga 31 Dis, 2025.

Ad Banner

Seramai lima lagi pemenang diraikan menerusi kempen AWFAR 2026 bagi kategori Cabutan Utama Bulanan.

"Melalui produk seperti AWFAR dan iGAIN, Bank Islam bukan sahaja memberi ganjaran kepada pelanggan, malah menggalakkan amalan kewangan yang bertanggungjawab dan pertumbuhan ekonomi yang mampan.

"Kami percaya bahawa disiplin kewangan yang konsisten serta pengurusan perniagaan yang berhemat merupakan asas penting kepada kesejahteraan kewangan jangka panjang," katanya.

Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis penyampaian hadiah program iGAIN SME Fortune Drive 2025 dan kempen AWFAR 2026 sempena Karnival Bank Islam 2026 di sini hari ini.

Menurut Mizan bagi program iGAIN SME Fortune Drive 2025, Nubex Sdn Bhd memenangi sebuah Toyota Hilux Double Cab 2.4E AT 4WD manakala Pantai Bharu Plantation Sdn Bhd menerima wang tunai RM20,000 dan MFD Solution Sdn Bhd pula menerima wang tunai RM10,000.

"Pemenang kempen AWFAR 2026 bagi cabutan utama bulanan dimenangi oleh Muzakkir Aman yang menerima barang kemas bernilai RM500,000 bagi Mei diikuti Mohd Jusre Abdul Razak menerima wang tunai RM1 juta bagi Jun.

"Untuk cabutan Julai, Halim Salleh dan Hakim Khan Mohd Khan masing-masing membawa pulang wang tunai RM250,000 manakala Nurul Amirah Ali memenangi sebuah Mercedes-Benz GLA 250 4MATIC AMG Line FL (CKD) bagi cabutan Ogos," katanya.

Mizan menyatakan program iGAIN memberi pengiktirafan kepada pelanggan dan usahawan yang berjaya mengembangkan potensi perniagaan menerusi pengurusan kewangan yang mampan manakala AWFAR pula menggalakkan budaya menabung secara konsisten.

Katanya, kemudahan membuka akaun AWFAR kini lebih mudah apabila pelanggan boleh berbuat demikian pada bila-bila masa dan di mana sahaja menerusi aplikasi BIMB Mobile.

Pemenang kereta, Nurul Amirah Ali, 36, berkata dia menyimpan dengan Bank Islam sejak 2023 dan tidak menjangka memperoleh kemenangan itu.

"Sewaktu membuka akaun memang diberitahu boleh memenangi hadiah dan tidak sangka mendapat panggilan mengatakan saya memenangi sebuah Mercedes Benz.

"Pada mulanya saya ingatkan pihak scammer tetapi apabila diyakinkan barulah saya percaya dan hadir ke majlis hari ini," katanya.

-- BERNAMA