Yobe Malaysia Sasar Buka 32 Cawangan Yobi Crafted Sehingga Akhir 2027
KUALA LUMPUR, 12 Sept (Bernama) -- Jenama yogurt beku tempatan, Yobe Malaysia menyasarkan pembukaan 32 cawangan Yobe Crafted di seluruh negara sehingga akhir 2027, tiga bulan selepas pelancaran rasmi pasarannya pada Jun tahun ini.
Sejak dilancarkan, syarikat itu membuka lima cawangan Yobe Crafted dan memasang 17 unit mesin layan diri Yobe Mini App-to-Cup dengan rancangan untuk membuka tujuh lagi cawangan Yobe Crafted sehingga akhir tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Leon Tang berkata syarikat itu akan mempercepat pengembangannya tahun depan termasuk penyertaan ke pasaran utama di Selatan Malaysia dan Pantai Timur.
“Maklum balas menggalakkan yang diterima dalam tempoh tiga bulan pertama ini meningkatkan keyakinan kami terhadap potensi pertumbuhan Yobe Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau menyatakan bahawa peluasan itu dibina berasaskan model pelbagai format yang merangkumi cawangan Yobe Crafted, unit layan diri Yobe Mini App-to-Cup dan lokasi utama Yobe Crafted.
Tang memberitahu model tersebut membolehkan jenama itu memenuhi pelbagai keperluan pengguna selain meluaskan akses kepada rangkaian yogurt beku dan pencuci mulutnya dengan cawangan utama menawarkan menu penuh, inovasi produk baharu serta menu yang eksklusif.
Beliau berkata, Yobe Malaysia memposisikan yogurt Greek premium berpusar itu sebagai satu bentuk kemewahan mampu milik yang boleh dinikmati setiap hari.
“Dengan suntikan modal baharu, kami dapat mengintegrasikan cawangan runcit Yobe Crafted dan ekosistem mesin layan diri Yobe Mini ke dalam aplikasi Yobe dengan lancar.
“Integrasi digital ini menjadi pemangkin yang mempercepatkan visi besar kami untuk menjadi perintis jenama yogurt beku dan pencuci mulut App-to-Cup yang pertama di Asia Tenggara,” katanya.
Pada Ogos 2026, beliau berkata Yobe Malaysia melantik kumpulan M-pop Malaysia, ALPHA sebagai duta jenama pertamanya serta memperkenalkan pengalaman eksklusif untuk peminat termasuk kad foto koleksi, kotak misteri dan barangan edisi terhad.
Kerjasama itu menyokong aspirasi Yobe Malaysia untuk membina jenama Malaysia yang dekat dengan budaya tempatan, berlandaskan mesej “Dihasilkan di Malaysia, untuk Dunia”.
Maklumat lanjut mengenai Yobe Malaysia dan promosi terbaharunya boleh didapati di yobe.com.my atau di Instagram rasminya @yobemalaysia.
--BERNAMA