BERITA TERKINI   Modi hargai sokongan berterusan Malaysia dalam memperkukuh hubungan ASEAN-India   | Pasukan SMART di Nepal dijangka kembali ke tanah air pada hari ini atau esok -- Mohamad Hasan | 

Malaysia Komited Perkukuh Kerjasama Serantau Dalam Bidang TBB, Kesalinghubungan - Akmal Nasrullah

KUALA LUMPUR, 12 Sept (Bernama) -- Malaysia komited memperkukuh kerjasama serantau dalam bidang tenaga boleh baharu (TBB) dan kesalinghubungan sebagai usaha untuk memperluas peluang ekonomi pada peringkat subserantau ASEAN, kata Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Beliau berkata pendekatan subserantau seperti kerjasama Segi Tiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) mampu memperkukuh potensi ekonomi antara negara anggota melalui pelaksanaan pelan yang lebih tersusun dan berkesan. 

“Pada peringkat Malaysia, kita mengambil maklum mengenai pelaksanaan pelan tindakan yang telah dilakukan sehingga tahun 2026.

Ad Banner

“Pada masa ini, kita sedang merencanakan pelan tindakan yang seterusnya bagi tempoh 2027 hingga 2031 sebelum menuju ke arah Visi IMT-GT 2036,” katanya pada sidang media ketika menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri IMT-GT ke-32 di Medan, Indonesia.

Mesyuarat itu diadakan pada 10 September, dipengerusikan Menteri Penyelaras Hal Ehwal Ekonomi Indonesia Airlangga Hartanto dan dihadiri Timbalan Menteri di Pejabat Perdana Menteri Thailand Dr. Thanadit Raktabutr. 

Akmal Nasrullah berkata antara fokus utama adalah termasuk memperkasakan sektor tenaga boleh baharu melalui inisiatif seperti Grid Tenaga ASEAN, selain meningkatkan tahap kesalinghubungan fizikal antara Malaysia, Indonesia dan Thailand. 

Ad Banner
Ad Banner

Katanya kedudukan geografi yang dekat seperti hubungan Kuala Lumpur dan Medan perlu dimanfaatkan sepenuhnya bagi mempercepat integrasi ekonomi. 

Pada masa yang sama, beliau turut menekankan kepentingan agenda kemampanan dan digital sebagai pemacu baharu pertumbuhan, termasuk memperluas peluang dalam ekonomi hijau di subrantau. 

Beliau turut menyatakan kesediaan Malaysia untuk menjadi tuan rumah mesyuarat IMT-GT pada September 2027 di Langkawi.

Sementara itu, dalam kenyataan bersama, menteri-menteri berkenaan memperkukuh komitmen mereka terhadap Visi IMT-GT 2036, yang menyasarkan untuk mewujudkan subrantau bersepadu, inovatif, inklusif dan mampan. 

Mereka berkata dalam ketidaktentuan geopolitik dan perpecahan perdagangan yang meningkat, terdapat keperluan mendesak untuk memperkukuh daya tahan dan keupayaan bagi menghadapi gangguan luaran.

Mereka turut mengiktiraf kecerdasan buatan (AI) dan transformasi digital sebagai pemangkin strategik kepada produktiviti, inovasi dan daya saing.

“Sehubungan itu, kami kekal komited untuk memperkukuh kerjasama dalam tiga Bidang Fokus, iaitu Pertanian dan Industri Berasaskan Agro, Pelancongan serta Produk dan Perkhidmatan Halal, disokong oleh lima Bidang Fokus Pemangkin, bagi memperkukuh daya tahan dan menggalakkan kemakmuran bersama,” menurut mereka.

Kenyataan bersama itu turut mengetengahkan pencapaian di bawah Pelan Tindakan Pelaksanaan (IB) IMT-GT 2022–2026, terutamanya dari segi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita, pelaburan langsung asing (FDI) dan ketibaan pengunjung antarabangsa, yang telah melepasi sasaran 2026.

KDNK per kapita meningkat daripada 21,646 berdasarkan PPP$ semasa pada 2024 kepada 23,290 pada 2025 manakala jumlah perdagangan barangan naik daripada US$708 bilion kepada US$810.8 bilion. 

Aliran masuk FDI meningkat daripada US$27.52 bilion kepada US$28.44 bilion manakala kadar pengangguran menurun daripada 3.8 peratus kepada 3.7 peratus, mencerminkan daya tahan ekonomi subrantau itu.

“Bagi menangani jurang yang masih wujud, kami menekankan bahawa IB 2027–2031 perlu berteraskan tiga matlamat strategik, iaitu Daya Tahan Ekonomi, Rangkaian Bersepadu dan Kemakmuran Bersama, disokong oleh penyelarasan institusi yang lebih baik, penglibatan pihak berkepentingan serta pemantauan dan penilaian yang utuh ke arah mencapai Visi 2036,” menurutnya.

-- BERNAMA