Pertemuan Dengan Pemain Industri, Pelabur Cermin Keyakinan Terhadap Potensi Malaysia - PM Anwar
Daripada Saraswathi Muniappan
NEW DELHI, 12 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata pertemuan beliau dengan wakil beberapa syarikat terkemuka di sini mencerminkan keyakinan berterusan pemain industri dan pelabur terhadap potensi serta hala tuju ekonomi Malaysia.
“Kerajaan MADANI akan terus memudah cara pelaburan berkualiti yang memperkukuh industri tempatan, mencipta pekerjaan bernilai tinggi serta memastikan limpahan manfaatnya dapat dirasai rakyat,” kata beliau.
Anwar yang juga Menteri Kewangan bertemu wakil DRB-Hicom, Segula Technologies India, AWL Agri Business Ltd dan Motherson Group bagi membincangkan peluang memperluas pelaburan serta kerjasama industri dalam sektor strategik antara Malaysia dan India.
Pertemuan pertama diadakan bersama wakil DRB-HICOM yang hadir bersama rakan strategik mereka bagi meneroka ruang kerjasama dengan industri automotif di India.
“Saya kemudian bertemu kepimpinan Segula Technologies India, sebuah syarikat kejuruteraan dan teknologi global, yang menyatakan hasrat untuk menubuhkan Pusat Kejuruteraan Global di Malaysia menjelang akhir 2026,” kata beliau melalui hantaran di laman media sosialnya hari ini.
Anwar berkata inisiatif itu berupaya memperkukuh keupayaan kejuruteraan tempatan melalui pengambilan bakat Malaysia serta penerapan kepakaran kecerdasan buatan dalam sektor automotif, aeroangkasa, tenaga dan pembuatan termaju.
Pertemuan bersama AWL Agri Business Ltd, antara syarikat utama dalam sektor perniagaan tani di India pula meneroka usaha meningkatkan pembelian produk daripada pembekal Malaysia.
Syarikat itu telah mengimport produk minyak sawit Malaysia bernilai kira-kira RM1.5 bilion, sekali gus membuka ruang untuk memperluas kerjasama dalam minyak sawit, lemak khusus, oleokimia dan produk hiliran lain.
“Saya turut bertemu wakil Motherson Group yang berkongsi perancangan untuk mengembangkan perniagaan teknologi maklumat dan penyelesaian digital di Malaysia,” kata Perdana Menteri.
Langkah ini, kata beliau, akan memanfaatkan kekuatan bakat tempatan, infrastruktur digital serta kedudukan strategik Malaysia sebagai pintu masuk ke pasaran serantau.
Anwar tiba di sini pada hari Jumaat untuk menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin-Pemimpin BRICS ke-18. Ini merupakan lawatan kedua beliau ke India atas kapasiti sebagai Perdana Menteri, dengan lawatan pertama dilakukan pada Ogos 2024.
-- BERNAMA