6,580 PMKS Berjaya Tingkat Skala Niaga, Bukti Impak Intervensi Kerajaan - Sim
Oleh Erma Idayu Mohd Yusop
GEORGE TOWN, 13 Sept (Bernama) -- Sebanyak 6,580 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) berjaya meningkatkan skala perniagaan masing-masing setakat ini, sekali gus membuktikan intervensi kerajaan memberi impak nyata kepada golongan usahawan.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Steven Sim Chee Keong berkata pencapaian itu juga antara ukuran keberkesanan usaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) membantu PMKS meningkatkan daya saing serta mengembangkan perniagaan.
"Daripada jumlah itu, sebanyak 3,827 perniagaan telah beralih daripada sektor informal (tidak rasmi) kepada kategori mikro manakala 2,235 perniagaan mikro meningkat kepada kategori kecil dan 518 syarikat kecil berkembang kepada kategori sederhana.
“Ini menunjukkan ada impak. Syarikat yang sebelum ini tidak berdaftar dalam sektor informal sudah mendaftar dan menjadi syarikat mikro, yang dulunya mikro sudah menjadi kepada kecil dan syarikat kecil pula meningkat kepada kategori sederhana,” katanya kepada Bernama selepas mengunjungi pejabat Biro Bernama Pulau Pinang di sini, baru-baru ini dan .
Dalam kunjungan itu, beliau yang juga Pengerusi DAP Pulau Pinang diiringi pemimpin DAP negeri bagi mengagihkan kuih bulan sempena perayaan berkenaan.
Mengulas selanjutnya, Sim berkata KUSKOP menyasarkan sekurang-kurangnya 10,000 PMKS dapat meningkatkan skala perniagaan masing-masing tahun ini.
Beliau juga optimis sasaran itu akan mendapat dorongan menerusi tambahan RM1 bilion bagi pembiayaan mikro kredit yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersempena sambutan Hari Kebangsaan, baru-baru ini.
Angka tambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan pembiayaan mikro kredit yang disediakan kerajaan tahun ini meningkat kepada RM6 bilion berbanding RM5 bilion sebelum ini.
Daripada tambahan RM1 bilion itu, Sim berkata sejumlah RM100 juta akan disalurkan melalui TEKUN Nasional yang menjadikan jumlah pembiayaan TEKUN tahun ini meningkat daripada RM1 bilion kepada RM1.1 bilion.
“TEKUN telah menyalurkan hampir RM700 juta kepada lebih 31,000 usahawan di seluruh negara dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini,” katanya.
Jumlah pembiayaan itu berbeza mengikut keperluan perniagaan, termasuk boleh mencecah sehingga RM100,000 dan tambahan RM100 juta dapat memberi banyak kelebihan kepada ramai usahawan.
Selain itu, Sim berkata KUSKOP menyasarkan untuk menyalurkan pembiayaan sebanyak RM15 bilion kepada usahawan sepanjang 2026.
“Hampir RM9 bilion telah disalurkan setakat Julai lepas kepada kira-kira 250,000 usahawan di seluruh negara. Daripada jumlah itu, RM3.4 bilion adalah pembiayaan baharu kepada kira-kira 34,000 usahawan yang pertama kali mendapat akses kepada pembiayaan.
“Di Pulau Pinang, sebanyak RM737 juta telah disalurkan kepada hampir 6,000 usahawan setakat tempoh berkenaan," katanya.
Pembiayaan itu bukan setakat membantu usahawan mendapatkan modal, tetapi turut membolehkan mereka melakukan penambahbaikan asas bagi meningkatkan kecekapan, produktiviti dan capaian pasaran.
Pada masa sama, beliau mengingatkan bahawa transformasi digital PMKS tidak semestinya memerlukan pelaburan besar dalam teknologi, sebaliknya boleh dimulakan dengan penggunaan sistem pembayaran digital, e-dompet, kod QR, pengurusan kewangan dan sistem inventori.
“Jangan anggap semua transformasi ini perlukan benda besar, kena ada robot...tentulah kita harap mereka boleh beli robot, tetapi semudah benda yang paling asas seperti sistem pembayaran, pengurusan kewangan dan inventori pun kita mahu bantu supaya peniaga boleh meningkatkan kecekapan dan produktiviti serta meluaskan pasaran,” katanya.
Bagi memperluas transformasi digital dalam koperasi pula, Sim berkata KUSKOP menyasarkan 100 koperasi di seluruh negara menjadi pusat kutipan sendiri bagi platform e-dagang menjelang akhir tahun ini.
Setakat separuh pertama 2026, sebanyak 56 koperasi telah menyertai inisiatif itu yang bukan sahaja memberi sumber pendapatan tambahan kepada koperasi, malah membantu gerakan koperasi menyesuaikan diri dengan ekonomi digital.
"Usaha itu bukan sahaja membuka sumber pendapatan tambahan kepada koperasi, malah membantu gerakan koperasi berusia lebih 100 tahun menyesuaikan diri dengan perkembangan ekonomi digital,” katanya.
-- BERNAMA