BERITA TERKINI   Hari Malaysia: Pengunjung acara bunga api di Tebingan Kuching dinasihatkan pakai pelitup muka susulan fenomena jerebu - Fahmi | Pameran Hari Malaysia 2026 diperluas ke platform digital, sahut saranan PM jadikan MA63 sebagai naratif nasional - Fahmi | Orang ramai termasuk pempengaruh diingat tidak ambil tindakan sendiri terhadap pelarian Myanmar, serah kepada pihak berkuasa - Polis | Pelantikan firma audit bebas selaras saranan Perdana Menteri, SPRM serta Jawatankuasa Khas Hala Tuju 2030 - FELDA | FGV lantik firma audit bebas teliti perkara khusus libatkan sebuah entiti yang mempunyai hubungan korporat dengan kumpulan - FELDA | 

DPMM Kedah Perkukuh Jaringan Perniagaan Serantau

ALOR SETAR, 14 Sept (Bernama) -- Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) Kedah memperluaskan jaringan perniagaan dan meneroka peluang pasaran global baharu menerusi penyertaan dalam sesi Pemadanan Perniagaan Segitiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT) Ke-32 di Medan, Indonesia baru-baru ini.

Yang Dipertua DPMM Kedah Zuhaizar Abdul Karim berkata penyertaan itu membuka peluang kepada pihaknya mengenal pasti potensi perdagangan dan pelaburan bersama pemain industri, usahawan, pelabur, institusi kewangan dan dewan perniagaan dari negara-negara anggota IMT-GT serta rakan strategik antarabangsa. 

"Program berlangsung pada 8 September itu menghimpunkan lebih 250 organisasi dan entiti perniagaan dari rantau Indonesia-Malaysia-Thailand serta beberapa negara lain.

Ad Banner

"DPMM Kedah pula melibatkan 19 delegasi yang terdiri daripada usahawan daripada pelbagai sektor, sekali gus mencerminkan komitmen kami untuk membawa usahawan negeri meneroka peluang perniagaan di luar pasaran domestik serta membina jaringan strategik di peringkat serantau," katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Beliau berkata DPMM Kedah melihat penyertaan itu bukan sekadar ruang pertemuan dan jaringan, malah sebagai pemangkin kepada pembentukan hubungan perniagaan yang berterusan dan berorientasikan hasil. 

"Pendekatan tersebut penting bagi memastikan jaringan yang dibina dapat diteruskan kepada perbincangan lanjut, padanan perniagaan, kerjasama strategik dan peluang pasaran baharu.

Ad Banner
Ad Banner

"IMT-GT merupakan platform kerjasama ekonomi sub-serantau melibatkan Indonesia, Malaysia dan Thailand dengan menumpukan kepada pengukuhan perdagangan, pelaburan, hubungan ekonomi dan kerjasama sektor swasta di Sumatera, Semenanjung Malaysia dan Selatan Thailand," katanya. 

Zuhaizar berkata dalam mengharungi perubahan landskap perdagangan global, DPMM Kedah berpandangan bahawa usahawan tempatan perlu lebih proaktif dalam memperluaskan jaringan, mengenal pasti pasaran baharu dan membina rakan strategik di luar negara. 

"Penyertaan dalam IMT-GT ini merupakan antara usaha untuk memberikan pendedahan dan akses yang lebih luas kepada usahawan Kedah ke pasaran serantau.

"DPMM Kedah percaya jaringan yang dibina mampu menjadi asas kepada kerjasama perniagaan yang lebih kukuh, sekali gus membuka ruang kepada usahawan Kedah untuk meningkatkan daya saing, memperluaskan pasaran dan berkembang ke peringkat antarabangsa," katanya.

-- BERNAMA