BERITA TERKINI   Hari Malaysia: Pengunjung acara bunga api di Tebingan Kuching dinasihatkan pakai pelitup muka susulan fenomena jerebu - Fahmi | Pameran Hari Malaysia 2026 diperluas ke platform digital, sahut saranan PM jadikan MA63 sebagai naratif nasional - Fahmi | Orang ramai termasuk pempengaruh diingat tidak ambil tindakan sendiri terhadap pelarian Myanmar, serah kepada pihak berkuasa - Polis | Pelantikan firma audit bebas selaras saranan Perdana Menteri, SPRM serta Jawatankuasa Khas Hala Tuju 2030 - FELDA | FGV lantik firma audit bebas teliti perkara khusus libatkan sebuah entiti yang mempunyai hubungan korporat dengan kumpulan - FELDA | 

Sidec Umum 24 Finalis Selangor Triple Accelerator 2026, Acara Kemuncak 14 Oktober

KUALA LUMPUR, 14 Sept (Bernama) -- Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) hari ini mengumumkan 24 finalis Selangor Triple Accelerator Programme 2026 dengan kalangan syarikat pemula niaga bersaing pada kemuncak hari demonstrasi akhir pada 14 Oktober ini.

Dalam kenyataannya, Sidec memaklumkan finalis itu merangkumi lapan syarikat pemula niaga yang mewakili setiap satu daripada tiga landasan pemecut program iaitu Deep-X, Retail-X dan Token-X yang dipilih selepas sesi hari pameran di Menara Affin, Tun Razak Exchange, Kuala Lumpur, pada 18 hingga 20 Ogos lepas.

Program itu telah berjaya menarik sebanyak 511 permohonan yang disusuli dengan pemilihan 90 syarikat pemula niaga untuk menyertai ketiga-tiga landasan berkenaan dan disaring kepada 24 finalis.

Ad Banner

Ketua Pegawai Eksekutif Sidec Yong Kai Ping berkata kejayaan meraih kedudukan sebagai kelompok 24 terbaik itu turut mencerminkan kemajuan, komitmen dan perkembangan dicapai pengasas syarikat pemula niaga terbabit dalam tempoh sepanjang program itu.

“Mereka telah memperkemas strategi masing-masing, meningkatkan persediaan pelaburan dan membina keyakinan bagi membawa usaha mereka ke tahap seterusnya.

“Kami juga teruja untuk melihat mereka membentangkan usaha masing-masing pada hari demonstrasi akhir itu,” katanya.

Ad Banner
Ad Banner

Acara itu akan diadakan pada 14 Oktober ini Pusat Konvensyen Kuala Lumpur bersempena Sidang Kemuncak Kecerdasan Buatan (AI) dan Semikonduktor (AiSEM@Selangor).

Pada acara itu, syarikat pemula niaga yang dipilih akan membentangkan perniagaan dan penyelesaian kepada panel juri serta pemain industri dan pentas itu akan menentukan juara bagi setiap landasan pemecut.

Menurut Sidec, tiga juara itu akan menerima wang tunai sebanyak RM20,000 manakala kesemua 12 pemenang menerima trofi dan sijil selain berpeluang menyertai program pendedahan antarabangsa melibatkan pasaran serantau, ekosistem industri dan peluang pelaburan

-- BERNAMA