BERITA TERKINI   Hari Malaysia: Pengunjung acara bunga api di Tebingan Kuching dinasihatkan pakai pelitup muka susulan fenomena jerebu - Fahmi | Pameran Hari Malaysia 2026 diperluas ke platform digital, sahut saranan PM jadikan MA63 sebagai naratif nasional - Fahmi | Orang ramai termasuk pempengaruh diingat tidak ambil tindakan sendiri terhadap pelarian Myanmar, serah kepada pihak berkuasa - Polis | Pelantikan firma audit bebas selaras saranan Perdana Menteri, SPRM serta Jawatankuasa Khas Hala Tuju 2030 - FELDA | FGV lantik firma audit bebas teliti perkara khusus libatkan sebuah entiti yang mempunyai hubungan korporat dengan kumpulan - FELDA | 

Batik Air Akan Lancar Laluan Subang-Bali Dan Pulau Pinang-Batam Pada Oktober Depan

KUALA LUMPUR, Sept 14 (Bernama) -- Batik Air akan melancarkan penerbangan terus dari Subang ke Bali dan Pulau Pinang ke Batam pada Oktober depan, sekali gus memperluaskan rangkaian hubungan antarabangsa antara Malaysia dan Indonesia.

Syarikat penerbangan itu dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa perkhidmatan Subang-Bali akan bermula pada 20 Oktober dengan kekerapan empat kali seminggu, manakala perkhidmatan Pulau Pinang-Batam akan bermula pada 18 Oktober dengan tiga penerbangan seminggu.

Ketua Pegawai Eksekutif Batik Air Datuk Chandran Rama Muthy berkata perkhidmatan baharu itu diperkenalkan susulan permintaan perjalanan yang berterusan antara Malaysia dan Indonesia.

Ad Banner

“Bali dan Batam merupakan destinasi penting bagi pelancong Malaysia, manakala Malaysia kekal sebagai pasaran utama bagi pengunjung dari Indonesia.

“Laluan baharu ini membolehkan Batik Air memanfaatkan permintaan tersebut serta mengukuhkan kehadiran antarabangsanya dari Subang dan Pulau Pinang,” katanya.

Batik Air turut menyatakan bahawa laluan Subang-Bali akan menghubungkan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah dengan Bali, memberikan pilihan penerbangan terus ke destinasi di Indonesia itu kepada pegembara dari Lembah Klang dan kawasan sekitarnya, selain melengkapkan perkhidmatan sedia ada syarikat itu dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Ad Banner
Ad Banner

Mengenai perkhidmatan Pulau Pinang-Batam, syarikat penerbangan itu memaklumkan bahawa laluan terus tersebut akan menyediakan hubungan lebih mudah ke Batam bagi pegembara dari Pulau Pinang dan wilayah utara, sekali gus menyokong perjalanan untuk tujuan riadah serta perniagaan antara kedua-dua pasaran.

“Batam merekodkan ketibaan 738,186 pengunjung antarabangsa dalam tempoh enam bulan pertama tahun 2025, dengan Malaysia menyumbang sebanyak 188,713 kunjungan, menjadikannya pasaran sumber kedua terbesar dalam tempoh tersebut,” menurut kenyataan itu.

Maklumat lanjut mengenai perkhidmatan baharu ini boleh didapati menerusu aplikasi mudah alih Batik Air dan laman web syarikat penerbangan tersebut.

-- BERNAMA