Kerjaya Prospek Peroleh Kontrak Bernilai RM37.82 Juta Daripada Persada Mentari
KUALA LUMPUR, 14 Sept (Bernama) -- Kerjaya Prospek Group Bhd (KPGB) memperoleh projek pembinaan bernilai RM37.82 juta daripada Persada Mentari Sdn Bhd.
Menurut KPGB dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, anak syarikat milik penuhnya, Kerjaya Prospek (M) Sdn Bhd (KPM), menerima surat lantikan daripada Persada Mentari Sdn Bhd untuk melaksanakan dan menyiapkan kerja-kerja cerucuk dan substruktur bagi cadangan pembangunan pangsapuri mampu milik di Bandar Tanjung Pinang, Pulau Andaman, Pulau Pinang.
“Kontrak itu akan bermula pada 1 Okt 2026 dan akan siap dalam tempoh 24 bulan dari tarikh permulaan.
“Menerima kontrak itu merupakan sebahagian daripada urusan biasa perniagaan KPM dan dilaksanakan secara bebas berdasarkan terma komersial biasa,” menurutnya.
KPGB memaklumkan kontrak itu dijangka menawarkan aliran pendapatan tambahan untuk kumpulan tersebut dalam tempoh dua tahun akan datang serta meningkatkan dan mengukuhkan lagi nilai perolehan kontrak sedia ada kumpulan itu.
-- BERNAMA