Kelington Group Peroleh Kontrak Kerja Bernilai RM1.83 Bilion Di India
KUALA LUMPUR, 14 Sept (Bernama) -- Penyedia penyelesaian kejuruteraan bersepadu Kelington Group Bhd (Kelington) memperoleh projek siap guna bernilai RM1.83 bilion daripada pengeluar semikonduktor terkemuka di India.
Menurut Kelington, anak syarikat milik penuhnya, Kelington Engineering (S) Pte Ltd (KESG) telah menerima surat lantikan (LoA) bagi perkhidmatan penyambungan peralatan kemudahan menyeluruh secara siap guna bagi satu kemudahan fabrikasi wafer semikonduktor di Gujarat, India.
“Di bawah LoA ini, Kelington akan bertindak sebagai kontraktor utama dan mengendalikan keseluruhan kerja-kerja reka bentuk, pemasangan, penyambungan, pengujian serta penyerahan peralatan pembuatan, makmal dan sokongan, selain sistem sokongan khusus peralatan yang berkaitan dengan Modul 1 dan Modul 2 kemudahan tersebut.
“Kerja-kerja itu dijangka siap dalam tempoh 30 bulan, dengan sasarannya menjelang Februari 2029,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Kelington Lim Seng Chuan pula berkata kontrak itu merupakan projek terbesar yang pernah diperoleh kumpulan tersebut, sekali gus menyediakan platform penting bagi meningkatkan kehadirannya dalam industri semikonduktor dan mewujudkan peluang bagi pertumbuhan selanjutnya.
“Ini merupakan satu lagi langkah penting dalam meningkatkan keupayaan berkontrak dan pengurusan kami untuk menjadi kontraktor utama bagi perkhidmatan penyambungan peralatan kemudahan lengkap secara siap guna dalam sektor semikonduktor.
“Pemasangan dan penyambungan peralatan kemudahan menyeluruh secara siap guna merupakan bahagian penting ketika memulakan operasi peralatan pembuatan semikonduktor, yang memerlukan penyelarasan rapi merentas pelbagai disiplin kejuruteraan serta piawaian pelaksanaan yang ketat," katanya.
Lim menambah bahawa Kelington berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan pelaburan besar India untuk membina keupayaan pembuatan semikonduktor domestiknya, sambil terus mengukuhkan kehadirannya dalam pasaran.
Sementara itu, bagi tempoh enam bulan yang berakhir pada 30 Jun 2026, Kelington memperoleh kontrak baharu bernilai RM1.23 bilion, termasuk kontrak kontrak tambahan berjumlah RM538 juta dan kontrak penyambungan bernilai RM1.83 bilion.
Ini menjadikan jumlah nilai kontrak yang diperoleh sejak awal tahun hingga kini mencecah RM3.59 bilion.
-- BERNAMA