Pasaran Getah Ditutup Rendah
Oleh Muhammad Fawwaz Thaqif Nor Afandi
KUALA LUMPUR, 14 Sept (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup rendah pada Isnin, menjejaki prestasi lebih lemah niaga hadapan getah serantau dengan niaga hadapan getah Jepun melanjutkan kerugian bagi sesi keempat berturut-turut, kata seorang peniaga.
Beliau berkata sentimen pasaran turut terjejas oleh permintaan getah asli yang lebih perlahan daripada pengeluar tayar di China.
“Kadar penggunaan kapasiti pengeluaran tayar keluli sepenuhnya di China merosot kepada 65.71 peratus, penurunan sebanyak 0.23 mata peratusan secara mingguan dan 1.51 mata peratusan tahun ke tahun.
“Sementara itu, pembelian getah asli oleh pengeluar tayar China berkurangan memandangkan kos bahan mentah lebih tinggi mendorong banyak syarikat mengekalkan kawalan pengeluaran,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata jangkaan kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS), serta kebimbangan mengenai prospek ekonomi AS, turut menjejaskan sentimen pasaran.
Menurut peniaga itu, jangkaan kenaikan kadar faedah Fed AS telah meningkat susulan peningkatan harga pengguna AS pada Ogos; keadaan itu menyokong unjuran Goldman Sachs mengenai kenaikan 25 mata asas pada September yang berpotensi mengukuhkan dolar AS dan memberi tekanan kepada harga komoditi.
Sentimen pengguna AS merosot pada bulan September manakala jangkaan inflasi meningkat, sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai perbelanjaan pengguna dan aktiviti ekonomi.
“Bagaimanapun, penurunan itu sedikit sebanyak diimbangi oleh kenaikan ketara harga minyak mentah serta kebimbangan mengenai kemungkinan gangguan bekalan di negara-negara utama pengeluar getah di Asia Tenggara akibat hujan lebat dalam persekitaran prospek fenomena El Niño yang semakin menguat,” tambahnya.
Ketika berita ini ditulis, harga minyak mentah Brent menokok 3.15 peratus kepada US$107.90 setong.
Pada 3 petang, Lembaga Getah Malaysia melaporkan harga Getah Mutu Malaysia (SMR 20) turun 22 sen kepada 976.5 sen sekilogram manakala harga lateks secara pukal merosot dua sen kepada 710.5 sen sekilogram. -- BERNAMA