Nilai Perintah Pelepasan Unit GFM Bagi Kompleks Bersepadu Pengerang Dinaik Semula Kepada RM104.2 Juta
KUALA LUMPUR, 14 Sept (Bernama) -- Anak syarikat tidak langsung milik 60 peratus GFM Services Bhd, Shapadu CR Asia Sdn Bhd (SCRA), menerima perintah pelepasan (RO) yang disemak semula daripada Pengerang Refining Company Sdn Bhd, dengan nilai anggaran meningkat 56 peratus kepada RM104.2 juta.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, penyedia perkhidmatan pengurusan fasiliti bersepadu itu memaklumkan bahawa nilai RO berkenaan meningkat RM37.4 juta daripada RM66.8 juta yang diumumkan sebelum ini pada 4 Ogos 2026.
“RO itu melibatkan pakej kerja utama turnaround di Kompleks Bersepadu Pengerang (PIC), Johor.
“Susulan semakan itu, nilai anggaran kasar gabungan empat RO yang diperoleh SCRA dan dua lagi anak syarikat GFM bagi kitaran turnaround utama pertama PIC meningkat kepada RM268.7 juta,” menurutnya.
Pengarah Urusan Kumpulan GFM Ruslan Nordin berkata peningkatan nilai RO SCRA itu akan meningkatkan keterlihatan pendapatan segmen tenaga kumpulan bagi 2027.
“Dengan empat RO kini mempunyai nilai anggaran kasar keseluruhan RM268.7 juta, keutamaan kami adalah melaksanakan kerja-kerja tersebut dengan baik, sekali gus mengukuhkan kedudukan syarikat bagi mendapatkan peluang kerja penyelenggaraan dan turnaround pada masa akan datang,” katanya.
Kerja-kerja berkenaan dijangka bermula pada Mac 2027 dan menyumbang secara positif kepada pendapatan GFM bagi tahun kewangan berakhir 31 Dis 2027.
GFM berkata nilai RO yang dianggarkan itu masih tertakluk kepada pelarasan berdasarkan keperluan pelanggan masing-masing.
-- BERNAMA