Yes Group Dapat Kelulusan Bursa Malaysia Bagi Penyenaraian Di Pasaran ACE
KUALA LUMPUR, 14 Sept (Bernama) -- Penyedia penyelesaian insentif pelancongan disesuaikan Yes Group Management Bhd (Yes Group) menerima kelulusan daripada Bursa Malaysia Securities Bhd untuk penyenaraiannya di Pasaran ACE.
Dalam satu kenyataan hari ini, syarikat itu menjelaskan bahawa tawaran awam permulaan (IPO) itu akan merangkumi terbitan awam sebanyak 91.87 juta saham baharu dan tawaran penjualan 45.93 juta saham sedia ada, yang menjadikan jumlah tawaran IPO itu sebanyak 137.80 juta saham.
Menurut syarikat itu, selepas penyenaraian, Yes Group akan mempunyai modal saham terbitan yang diperbesarkan sebanyak 530 juta saham.
Pengarah Urusan Yes Group Angela Mak Shau Kwan berkata selama beberapa tahun, syarikat itu telah berkembang daripada penyedia penyelesaian acara dan pelancongan kepada pakar dalam mesyuarat, insentif, persidangan serta pameran (MICE).
Katanya, ia disokong oleh keupayaan pelaksanaan yang kukuh, hubungan dengan pelanggan, proses operasi dan perkhidmatan yang berkualiti.
“Cadangan penyenaraian ini akan memberikan kami platform yang lebih kukuh untuk meningkatkan keterlihatan, memperluaskan keupayaan dan meneruskan fasa pertumbuhan kami yang seterusnya," katanya.
Sejarah operasi syarikat itu dan anak syarikatnya boleh dikesan sejak 2008 menerusi penubuhan Yes Travel & Events Consultant Sdn Bhd, yang kemudiannya dikenali sebagai Yes Travel & Holidays Sdn Bhd pada 2009.
Kumpulan itu bermula sebagai penyedia penyelesaian perancangan dan pengurusan acara korporat sebelum meluaskan perkhidmatan kepada perjalanan insentif domestik pada 2010 dan perjalanan insentif luar negara pada 2014.
Mengikut pendedahan prospektus, kumpulan itu merancang untuk menggunakan hasil daripada terbitan awam untuk mengembangkan perkhidmatan pengangkutan darat di Eropah, selain menubuhkan pejabat serantau di United Kingdom dan pusat pembangunan serta latihan iaitu Akademi Yes.
Malacca Securities Sdn Bhd merupakan penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan bagi IPO tersebut.
-- BERNAMA