Pulau Pinang Wajar Teroka Pewujudan Bazar Emas, Perkukuh Aspirasi Hab Kewangan - Sim
BATU KAWAN, 15 Sept (Bernama) -- Pulau Pinang wajar meneroka pewujudan bazar emas dan berpotensi membangunkan kemudahan penyimpanan emas sebagai sebahagian daripada usaha menjadikan negeri itu hab emas serantau, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Steven Sim Chee Keong.
Beliau berkata cadangan itu akan melengkapi industri pembuatan barang kemas emas yang telah lama bertapak di negeri berkenaan, selain memperkukuh peranan emas sebagai antara aset utama yang menyokong aspirasi Pulau Pinang untuk menjadi hab kewangan.
“Saya berharap akhirnya, bersama-sama kerajaan negeri dan Kerajaan Persekutuan, kita dapat melengkapkan ekosistem ini dengan mewujudkan bazar emas di Pulau Pinang.
“Tiada apa yang menghalang Pulau Pinang daripada menjadi lokasi alternatif selepas Dubai atau India, kerana pembeli dan penjual emas sentiasa mencari lokasi baharu,” katanya pada pelancaran kilang penapisan emas baharu Public Gold bertaraf antarabangsa di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.
Sim berkata industri pembuatan emas di Pulau Pinang yang menyumbang kira-kira 70 peratus kepada pembuatan dan pengeluaran barang kemas emas Malaysia memberikan asas kukuh kepada negeri itu untuk berkembang sebagai bazar emas serantau.
Beliau berkata pembangunan ekosistem emas yang lengkap merangkumi pembuatan, penapisan, perdagangan dan penyimpanan berpotensi mengoptimumkan nilai kekayaan sedia ada serta menarik modal baharu bagi menyokong pembangunan Pulau Pinang.
Sementara itu, Pengasas dan Pengerusi Eksekutif Public Gold Datuk Seri Louis Ng berkata kilang penapisan baharu itu yang dibangunkan di atas tapak seluas 0.461 hektar di dalam Kawasan Perindustrian Batu Kawan, dengan keluasan binaan kira-kira 4,038.68 meter persegi, direka untuk menapis sehingga 10 tan logam berharga setahun.
Beliau berkata kapasiti itu boleh ditingkatkan kepada antara 20 tan dan 50 tan setahun mengikut pertumbuhan permintaan pasaran.
Katanya, kemudahan itu membolehkan Public Gold menapis emas terpakai secara tempatan tanpa perlu menghantarnya ke kemudahan di luar negara, sekali gus membantu syarikat mengurangkan kos pengangkutan, insurans dan penapisan.
Ng berkata Public Gold telah mengeksport kira-kira dua tan emas terpakai ke Hong Kong dan Singapura untuk tujuan penapisan dalam tempoh dua bulan lepas.
“Dengan kilang penapisan ini yang mematuhi piawaian antarabangsa, kita boleh menapisnya di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata projek berkenaan turut mewujudkan kira-kira 1,000 peluang pekerjaan secara langsung meliputi jawatan teknikal dan kejuruteraan berkemahiran tinggi, jaminan kualiti, operasi serta fungsi sokongan korporat.
-- BERNAMA