Mercedes-Benz Malaysia Sasar 17 Model Baharu Pada 2027, Unjur Peningkatan Permintaan EV
Oleh Anas Abu Hassan
SINGAPURA, 15 Sept (Bernama) -- Mercedes-Benz Malaysia merancang untuk memperkenal 17 model baharu bagi pasaran Malaysia pada 2027 sekali gus memperluas penawarannya dalam segmen enjin pembakaran dalaman (ICE) dan kenderaan elektrik (EV).
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Mercedes-Benz Cars Malaysia Martin Schulz berkata syarikat itu akan menawarkan pelbagai jenis kenderaan daripada model mewah berkelas atasan hingga segmen kompak.
“Pelbagai produk baharu akan diperkenalkan secara besar-besaran merentasi keseluruhan rangkaian model serta semua jenis sistem jana tenaga.
“Sama ada ICE atau EV berkuasa bateri, kami akan memperkenal produk baharu merentasi semua segmen bagi memastikan pelanggan mempunyai pilihan yang lengkap tanpa menjejaskan aspek keselamatan, keselesaan, teknologi atau reka bentuk,” katanya kepada Bernama pada Selasa.
Pada Isnin lepas, Mercedes-Benz Malaysia memperkenal Mercedes-Benz CLA 200 AMG Line serba baharu untuk pasaran Malaysia yang akan dipasang secara tempatan di Pekan, Pahang.
Syarikat berkenaan turut memperkenal Mercedes-Benz GLC 300 4MATIC elektrik serba baharu ke pasaran Malaysia yang menampilkan reka bentuk dan keupayaan baharu bagi model terlarisnya di peringkat global, dibangunkan berasaskan seni bina EV yang direka khusus.
Menurut Schulz, Mercedes-Benz Malaysia menyaksikan permintaan yang stabil terhadap EV di pasaran Malaysia dengan penguasaan pasarannya meningkat dua kali ganda dari tahun ke tahun walaupun masih lebih rendah berbanding kenderaan ICE.
“Kami melihat kadar pertumbuhan yang jauh lebih tinggi malah meningkat dua kali ganda dari tahun ke tahun dan oleh itu kami gembira dapat menawarkan pelbagai pilihan kepada pelanggan kami,” katanya.
Sementara itu, Schulz memberitahu pengeluar kereta mewah itu akan terus melabur dalam Kilang Pengeluaran Mercedes-Benz di Pekan khususnya, susulan peluasan pemasangan tempatan model EV.
Beliau menyatakan kemudahan pengeluaran di Pekan mempunyai keupayaan yang luas termasuk kemudahan lengkap untuk kerja badan kenderaan dan pengecatan.
Jelasnya, ia akan memainkan peranan penting dalam pemasangan model-model baharu syarikat yang akan datang dengan kebanyakan daripada 17 model baharu yang dirancang untuk 2027 akan dikeluarkan di situ.
“Kami memulakan proses pemasangan tempatan model EV kami pada 2023 dan kami baru sahaja mengumumkan bahawa kami turut memasang secara tempatan model GLC elektrik sepenuhnya serta CLA elektrik sepenuhnya.
“Operasi pengeluaran ini mempunyai kapasiti dan keupayaan yang cukup besar dan kami terus melabur dalam operasi berkenaan dengan memperkenal produk-produk baharu,” katanya.
-- BERNAMA