Sidang 'JC3 Journey To Zero' Pada 28-29 September Pacu Agenda Daya Tahan Iklim
KUALA LUMPUR, 15 Sept (Bernama) -- Jawatankuasa Bersama Mengenai Perubahan Iklim (JC3) akan menganjurkan Persidangan JC3 Journey to Zero 2026 di Sasana Kijang di ibu negara pada 28 hingga 29 September ini.
JC3 adalah platform untuk melaksanakan tindakan kerjasama bagi membangunkan daya tahan iklim dalam sektor kewangan Malaysia.
Dalam kenyataan hari ini, JC3 memaklumkan persidangan bertemakan “Membina Daya Tahan Iklim dan Alam Semula Jadi untuk Rakyat dan Perniagaan” itu juga menjadi platform dialog dan kerjasama antara pihak berkepentingan sektor awam dan swasta bagi memajukan agenda daya tahan iklim dan alam semula jadi Malaysia.
“Antara perkara perbincangan utama adalah mengemudi pertumbuhan mampan dalam landskap global yang berubah, mempercepat peralihan tenaga menerusi kewangan mampan, membina daya tahan iklim menerusi pelaksanaan dan pengurusan risiko selain memajukan pembangunan dan penyelesaian pembiayaan yang bersifat positif terhadap alam semula jadi,” maklum jawatankuasa berkenaan.
Menurut JC3, persidangan itu akan membolehkan pihak berkepentingan mendapat maklumat mengenai pembiayaan berkaitan iklim dan alam semula jadi, pengalaman industri serta penyelesaian praktikal untuk membiayai inisiatif peralihan dan daya tahan berkaitan.
Pada masa sama, acara itu turut menjadi peluang bertukar pendapat dengan penggubal dasar, institusi kewangan, perniagaan dan pelabur selain memajukan agenda daya tahan iklim dan alam semula jadi Malaysia daripada peringkat dasar kepada pelaksanaan.
Maklumat lanjut boleh diperoleh menerusi laman sesawang Persidangan JC3 Journey to Zero 2026.
-- BERNAMA