BERITA TERKINI   Menteri Besar tiada kuasa secara unilateral untuk tamatkan atau kosongkan jawatan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan - Ismail Lasim | MoU pertahanan dan hal ehwal Islam Malaysia-Maldives bakal perluas kerjasama keselamatan maritim, latihan, halal, wakaf dan haji – PM Anwar | 

UUE Sasar Projek Infrastruktur Grid Tenaga Skala Besar Melalui JV Dengan EGP Singapura

JOHOR BAHRU, 15 Sept (Bernama) -- Penyedia penyelesaian kejuruteraan utiliti bawah tanah UUE Holdings Bhd (UUE) mengembangkan perniagaannya kepada segmen kejuruteraan pencawang elektrik voltan amat tinggi (EHV) dan voltan tinggi (HV) iaitu bidang yang mempunyai halangan kemasukan yang tinggi.

Langkah itu dilaksanakan menerusi usaha sama (JV) dengan penyedia penyelesaian infrastruktur elektrik berpangkalan di Singapura EGP Infrastructure Investments Pte Ltd (EGPII).

UUE dalam kenyataan hari ini memaklumkan anak syarikat milik penuhnya Kum Fatt Engineering Sdn Bhd (KFE) telah memeterai perjanjian dengan EGPII untuk menubuhkan arikat usaha sama di Malaysia.

Ad Banner

Di bawah perjanjian itu, KFE akan memegang kepentingan ekuiti sebanyak 40 peratus dalam syarikat JV berkenaan manakala baki 60 peratus akan dipegang oleh EGPII.

“Syarikat JV itu akan menyediakan penyelesaian infrastruktur grid tenaga secara siap guna, dengan menggabungkan keupayaan EGPII dalam reka bentuk projek, aspek teknikal, bekalan dan pemasangan serta pengujian dan pentauliahan peralatan elektrik bagi julat voltan 132 kilovolt (kV) hingga 400 kV di Singapura.

“Ini bersamaan dengan tahap voltan penghantaran 500 kV di Malaysia, dengan kepakaran kejuruteraan utiliti bawah tanah tempatan, keupayaan pelaksanaan kerja sivil serta pengalaman penyelarasan kawal selia UUE,” menurutnya.

Ad Banner
Ad Banner

Peralatan dan bahan elektrik itu merangkumi transformer kuasa, peralatan suis, kabel serta aksesori berkaitan.

Pengarah Urusan UUE Datuk Dr Ting Kok Hwa berkata kerjasama itu menandakan pencapaian transformatif bagi kumpulan itu dalam usaha meningkatkan kedudukannya dalam rantaian nilai ke arah infrastruktur penghantaran EHV dan HV sehingga 500 kV, sekali gus melengkapkan kemampuan sedia adanya dalam rangkaian pengagihan kuasa bawah tanah.

Beliau berkata melalui kepakaran EGP Energy Group yang mantap dalam integrasi sistem EHV, UUE berada pada kedudukan yang baik untuk melaksanakan projek infrastruktur grid kuasa berskala lebih besar.

“Grid tenaga Malaysia sedang melalui kitaran pemodenan yang intensif, disokong oleh permintaan elektrik yang semakin meningkat daripada pusat data, pengembangan sektor perindustrian serta pelaburan Tenaga Nasional Bhd di bawah Tempoh Kawal Selia 4.

“Melalui kerjasama ini, kami menyasarkan untuk menawarkan penyedia penyelesaian pencawang secara siap guna yang bersepadu, disokong di peringkat tempatan dan berteknologi tinggi kepada syarikat utiliti nasional serta pemaju pusat data berskala besar," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif EGP Energy Frankie Fan berkata JV berkenaan menandakan langkah permulaan yang penting dalam pengembangan kumpulan itu ke luar negara, selaras dengan strategi pengembangan geografinya yang ditekankan semasa penyenaraian di Bursa Singapura.

Beliau berkata kitaran pelaburan grid Malaysia sedang memasuki tempoh pertumbuhan yang berterusan.

Menurutnya menerusi kerjasama dengan Kum Fatt, EGP Energy mendapat rakan kongsi tempatan yang mantap serta mempunyai ilmu pasaran dan pengalaman projek yang relevan di Malaysia manakala pihaknya menawarkan kepakaran dan rekod prestasi dalam integrasi sistem EHV dan HV yang telah dibina selama lebih tiga dekad di Singapura.

EGPII ialah anak syarikat milik penuh EGP Smart Energy Pte Ltd, yang kemudiannya dimiliki sepenuhnya EGP Energy Corporation Ltd, iaitu syarikat yang disenaraikan di Papan Utama Singapore Exchange Securities Trading Ltd sejak 29 Julai 2026.

-- BERNAMA