BERITA TERKINI   Kerajaan adakan mesyuarat khas esok bersama PETRA, Suruhanjaya Tenaga, TNB dan MOF teliti langkah kurangkan kesan kenaikan bil elektrik terhadap isi rumah - PM Anwar  | Setiap langkah penyasaran subsidi akan dilaksanakan secara adil dan munasabah, dengan kepentingan serta kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan - PM Anwar | 

Golongan Wanita Masih Kurang Pegang Jawatan Paling Berpengaruh Dalam Ekonomi, Politik - WEF

KUALA LUMPUR, 16 Sept (Bernama) -- Penyertaan golongan wanita dalam barisan kepimpinan kanan sektor perniagaan dan kerajaan kini berada pada tahap yang jauh lebih tinggi berbanding 2006, namun golongan ini masih kurang memegang jawatan yang paling berpengaruh dalam ekonomi dan politik, menurut Forum Ekonomi Dunia (WEF).

Menurut Global Gender Gap Report 2026 yang diterbitkan di Geneva, Switzerland hari ini, dunia kini semakin menghampiri kesaksamaan gender berbanding sebelum ini, namun kemajuan itu masih rapuh dengan perkembangan dalam beberapa bidang menunjukkan tanda-tanda kemunduran.

“Hampir setiap ekonomi yang ditinjau sejak 2006 telah mencatat kemajuan, dan dekad pertama indeks itu menyaksikan peningkatan yang lebih pantas berbanding dekad kedua. Pemerkasaan politik mencatat kemajuan terbesar dalam tempoh 20 tahun lepas, dengan peningkatan lapan mata peratusan dalam kalangan ekonomi yang dijejaki sepanjang tempoh berkenaan.

Ad Banner

“Pada 2006, terdapat seorang menteri wanita bagi setiap 8.1 lelaki; kini nisbah itu menjadi seorang wanita bagi setiap 4.3 lelaki. Dalam parlimen, nisbah itu berubah daripada seorang wanita bagi setiap 5.6 lelaki kepada kira-kira seorang bagi setiap tiga lelaki,” kata WEF dalam laporan itu.

Bagaimanapun, WEF berkata pemerkasaan politik turut menjadi dimensi yang menunjukkan tanda-tanda kemunduran paling ketara. Skornya kini lebih rendah berbanding 2016 dan merosot lagi 0.4 mata peratusan dalam tempoh setahun lalu.

“Pada peringkat tertinggi, bahagian ekonomi dalam sampel tetap laporan itu yang merangkumi 97 ekonomi dan diterajui wanita sebagai ketua negara memuncak pada 27 peratus pada 2022, paras tertinggi dalam tempoh setengah abad, namun sejak itu kembali ke tahap 2016, sekali gus menghapuskan kemajuan yang dicapai pada awal dekad ini,” kata forum itu.

Ad Banner

Laporan itu berkata Eropah kembali menduduki tempat teratas antara rantau, dengan tahap kesaksamaan gender mencapai 75.7 peratus selepas jurang gender mengecil sebanyak tujuh mata peratusan sejak 2006.

 Tujuh daripada 10 ekonomi berprestasi terbaik dunia dalam indeks itu adalah dari Eropah, dengan rantau berkenaan mendahului dunia dalam pemerkasaan politik pada 37 peratus, manakala skor kesaksamaan di peringkat ketua negara meningkat tiga kali ganda sejak 2006.

Sementara itu, Asia Selatan menduduki tempat ketujuh dengan 64.5 peratus dan kekal sebagai rantau dengan skor terendah dalam penyertaan ekonomi dan peluang pada 40.9 peratus.

Rantau itu mencatat peningkatan pendidikan terbesar berbanding mana-mana rantau sejak 2006, iaitu sebanyak 15 mata peratusan, dengan hampir semua ekonomi kini mencapai kesaksamaan dalam kemasukan pendidikan tertiari.

Laporan itu turut menyatakan kekurangan penyertaan wanita dalam firma kecerdasan buatan (AI) berbanding firma bukan AI pada setiap peringkat, masing-masing merangkumi 36.6 peratus dan 44.8 peratus pada peringkat penyumbang individu, serta 25.3 peratus dan 27.7 peratus dalam kalangan pengurusan tertinggi, menurut data LinkedIn.

Dalam pekerjaan berkaitan AI, wanita tertumpu dalam peranan anotasi data, yang lazimnya merupakan jawatan AI bergaji lebih rendah, manakala hanya 19.3 peratus jurutera AI terdiri daripada wanita.

Sementara itu, bahagian pengasas wanita yang mempunyai kemahiran kejuruteraan AI meningkat daripada 2.3 peratus pada 2019 kepada 8.7 peratus dalam dua suku pertama 2026, namun golongan lelaki terus mencatat kemajuan pada kadar lebih pantas, menurut laporan itu.

Di peringkat global, jurang gender kini berjaya diatasi sebanyak 69.2 peratus, dengan 100 peratus mewakili kesaksamaan penuh, meningkat 0.4 mata peratusan dalam tempoh setahun lalu.

Dalam kalangan 97 ekonomi yang dijejaki sejak 2006, jurang itu telah mengecil sebanyak 5.2 mata peratusan kepada 69.4 peratus, iaitu tahap tertinggi pernah direkodkan. Penyertaan ekonomi dan peluang (61.7 peratus) serta pemerkasaan politik (22.1 peratus) merupakan dimensi yang paling jauh daripada mencapai kesaksamaan.

Pengarah Urusan WEF Saadia Zahidi berkata ekonomi pada setiap tahap pendapatan telah mencatat kemajuan, menunjukkan bahawa kekangan bukan berpunca daripada kekurangan sumber.

“Data selama 20 tahun ini menunjukkan bahawa kesaksamaan gender boleh dicapai. Kesaksamaan merupakan asas kepada pertumbuhan dan daya saing, namun ia bukan sesuatu yang berlaku secara automatik.

“Untuk mempercepatkan kemajuan, kerajaan dan majikan perlu mengambil iktibar daripada dasar yang berkesan dan melaksanakannya dengan lebih pantas. Ekonomi baharu memerlukan pendekatan baharu terhadap bakat,” katanya.

Edisi ke-20 laporan berkenaan, yang merupakan indeks paling lama diterbitkan seumpamanya, menilai 145 ekonomi berdasarkan empat dimensi: penyertaan ekonomi dan peluang, pencapaian pendidikan, kesihatan dan kelangsungan hidup serta pemerkasaan politik.

-- BERNAMA