BERITA TERKINI   Rakyat diseru perkukuh tekad untuk bergerak ‘Segulai Sejalai’ bina Malaysia yang lebih maju dan dihormati - Fahmi | 

Pembukaan Terusan Pinglu Perkukuh Kesalinghubungan China-ASEAN

Daripada Siti Fauziah Hasan

QINZHOU (China) 16 Sept (Bernama) -- Terusan Pinglu, projek utama Koridor Perdagangan Darat-Laut Antarabangsa Baharu, dibuka secara rasmi untuk pelayaran hari ini, sekali gus mewujudkan koridor pengangkutan air baharu yang menghubungkan barat daya China dengan ASEAN dan pasaran antarabangsa.

Terusan sepanjang 134.2 kilometer itu turut menjadi projek penting dalam usaha China memperkukuh keupayaannya menjadi kuasa pengangkutan.

Ad Banner

Bermula di Muara Pingtang, iaitu kawasan Takungan Xijin di Hengzhou, Nanning, terus itu mengalir ke Teluk Beibu melalui Sungai Qinjiang di Luwu, Daerah Lingshan, Qinzhou.

Jurutera projek, Wei Minxin berkata pembukaan terusan itu bukan sahaja meningkatkan kesalinghubungan pengangkutan, malah mengeratkan hubungan antara China dan negara-negara ASEAN.

Terusan tersebut turut menghubungkan rangkaian kereta api di barat daya China dengan rangkaian pelabuhan Teluk Beibu, sekali gus membentuk sistem pengangkutan bersepadu yang merangkumi laluan air, kereta api dan maritim, katanya kepada pemberita di lokasi projek itu di sini hari ini.

Ad Banner

Projek yang dimulakan pada Ogos 2022 itu dibina mengikut piawaian laluan air pedalaman Kelas I dan mempunyai anggaran kos sebanyak 72.7 bilion yuan.

Terusan itu mampu menampung kapal sehingga 5,000 tan. Selain menjadi laluan pelayaran, projek berkenaan turut mengintegrasikan fungsi bekalan air, pengairan, pencegahan banjir serta penambahbaikan alam sekitar akuatik.

Selain itu, ia memendekkan laluan pengangkutan air dari Guangxi serta barat daya China ke rantau ASEAN, berikutan ia dijangka mengurangkan jarak pengangkutan barangan melalui sungai pedalaman lebih 560 kilometer berbanding laluan tradisional.

Pembukaan terusan itu juga akan mempercepatkan proses mengubah sumber serantau kepada kekuatan ekonomi, selain menggalakkan pembangunan industri dan rantaian bekalan rentas sempadan serta merentas wilayah yang menghubungkan rantau ASEAN, Zon Ekonomi Teluk Beibu, Zon Ekonomi Chengdu-Chongqing dan Kawasan Teluk Besar Guangdong-Hong Kong-Macao.

Ia turut berfungsi sebagai hab strategik bagi strategi pembangunan dwi-edaran domestik dan antarabangsa China, selain menyumbang kepada pembangunan Guangxi dan wilayah barat China secara keseluruhannya.

Pembukaan Terusan Pinglu juga memberi ruang kepada Pelabuhan Teluk Beibu berkembang daripada sebuah pelabuhan laut kepada hab pengangkutan pelbagai mod yang menghubungkan barat daya China dengan pasaran domestik dan antarabangsa.

Projek itu menggabungkan sistem tiga peringkat lembangan penjimatan air yang mampu mengurangkan penggunaan air lebih 60 peratus.

Pada masa sama, terusan itu turut menghubungkan laluan perdagangan baharu itu dengan rangkaian Kereta Api Ekspres China-Eropah serta laluan perkapalan rentas sempadan, sekali gus memperluas lagi kesalinghubungan logistik China dengan negara-negara ASEAN.

-- BERNAMA