MBSB Bank Salur RM29.6 Juta Kepada Bisajuta Untuk infrastruktur Sabah
KUALA LUMPUR, 17 Sept (Bernama) -- MBSB Bank Berhad menyalurkan kemudahan pembiayaan berjumlah RM29.6 juta kepada Bisajuta Sdn Bhd, kontraktor berpangkalan di Sabah untuk menyokong empat projek infrastruktur awam.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB Berhad, Rafe Haneef berkata melalui kemudahan pembiayaan berjumlah RM29.6 juta kepada Bisajuta Sdn Bhd, MBSB Bank menyokong pelaksanaan projek jambatan, pengairan dan tebatan banjir di Sabah.
“Ia memberi manfaat kepada komuniti di Penampang, Kota Belud, Inanam, Beaufort dan Tenom.
“Dengan memperkukuh ketersambungan, meningkatkan pengurusan air serta menyokong aktiviti ekonomi, urus niaga ini mencerminkan komitmen kami terhadap pembangunan jangka panjang Sabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Antara projek yang disokong ialah kerja menaik taraf Jambatan Sungai Moyog di Penampang yang kini telah siap dilaksanakan.
Projek tersebut melibatkan pembinaan jambatan baharu jenis girder keluli sepanjang 90-meter yang menghubungkan Stesen Perikanan Babagon, Kampung Timpango dan Kampung Lotong, bagi menggantikan laluan sungai sedia ada.
Jambatan yang dinaik taraf ini meningkatkan aksesibiliti penduduk setempat dan memudahkan pergerakan hasil pertanian, bekalan perikanan serta barangan keperluan lain yang menyokong aktiviti ekonomi tempatan.
Menurut MBSB Bank, projek itu juga menyokong pembangunan berterusan Stesen Perikanan Babagon dan merupakan sebahagian daripada usaha yang lebih menyeluruh untuk mempertingkatkan infrastruktur di lembangan Sungai Moyog.
Kemudahan pembiayaan tersebut turut menyokong beberapa projek infrastruktur yang sedang dilaksanakan di Sabah, termasuk kerja naik taraf dan penambahbaikan Skim Pengairan Tempasuk Selatan di Kota Belud, pelaksanaan kerja-kerja tebatan banjir di bawah Program Rancangan Tebatan Banjir Sungai Padas, serta projek menaik taraf Jambatan Dasar di Jalan Kiansom Lama, Inanam.
Bisajuta Sdn Bhd, diperbadankan pada tahun 2001, mempunyai lebih 23 tahun pengalaman dalam sektor pembinaan serta rekod prestasi yang kukuh dalam melaksanakan projek infrastruktur awam di Sabah.
-- BERNAMA