BERITA TERKINI   Majlis Halal ASEAN: Malaysia tawar jadi sekretariat, Indonesia sebagai pengerusi pertama - TPM Ahmad Zahid | Pengampunan bersyarat Najib: Ahmad Zahid sifatkan tahanan rumah sebagai perkembangan bermakna, seru ahli UMNO hormati proses ditetapkan | Malaysia cadang Majlis Halal ASEAN dilancarkan di Malaysia pada Sept 2027, sempena dengan Bulan Halal Kebangsaan - TPM Ahmad Zahid | Tiada perbincangan mengenai bantuan kewangan kerajaan untuk AirAsia - Tony Fernades | AirAsia menetapkan sasaran mengumpul dana US$1 bilion, kebanyakannya untuk membiayai semula pinjaman dengan kos tinggi - Tony Fernandes | 

Eksport Kayu, Produk Berasaskan Kayu Sarawak Cecah RM1.16 Bilion Setakat Jun

Oleh Zaphne Philip

KUCHING, 18 Sept (Bernama) -- Nilai eksport kayu dan produk berasaskan kayu Sarawak setakat Jun lepas dianggarkan mencecah RM1.16 bilion, kata Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (Pusaka) Datuk Zainal Abidin Abdullah.

Beliau berkata nilai eksport tersebut mencatatkan penurunan berbanding RM1.21 bilion bagi tempoh sama tahun lepas berikutan cabaran daripada harga pasaran, nilai produk serta perubahan keadaan pasaran antarabangsa.

Ad Banner

“Bagaimanapun, papan lapis merupakan penyumbang utama dengan nilai lebih RM500 juta. Ini diikuti kayu balak kira-kira RM192 juta dan produk gantian kayu sebanyak RM180 juta,” katanya kepada Bernama.

Katanya produk hiliran turut menyumbang kepada nilai eksport keseluruhan yang mencecah RM200 juta dalam tempoh yang sama.

“Kebanyakan produk seperti sisa kayu, biojisim, pelet kayu, kepingan kayu dan arang bio dieksport ke Jepun dan China. Bagi industri perkayuan hiliran, Pusaka menggalakkan pemain industri menggunakan sumber kayu daripada kawasan ladang hutan,” katanya.

Ad Banner

Zainal Abidin berkata sejak 2014, kerajaan Sarawak telah menghentikan pengeluaran lesen pembalakan bagi mengekang aktiviti pembalakan haram dan penerokaan hutan tidak terkawal serta merosakkan alam sekitar.

Katanya pada masa sama, kerajaan mengeluarkan lesen seperti Ladang Hutan Industri (ITP) bagi penanaman semula hutan bertujuan mengekalkan kelestarian alam sekitar sekali gus menjamin bekalan bahan mentah berterusan bagi industri hiliran kayu negeri.

“Kita menggalakkan pemain industri hiliran menghasilkan produk bernilai tambah bagi meningkatkan nilai eksport pada masa akan datang, bukannya sekadar mengeksport kayu balak,” katanya.

Berdasarkan rekod Pusaka, katanya lebih 500,000 hektar kawasan di seluruh Sarawak telah diluluskan lesen oleh Jabatan Hutan Sarawak bagi pembangunan ladang hutan.

Beliau berkata usaha ini bertujuan memperkukuh industri perkayuan negeri yang menyasarkan nilai eksport berjumlah RM8 bilion menjelang 2030.

“Kita telah melaksanakan pelbagai usaha untuk menarik pelaburan baharu, antaranya dengan menyediakan Taman Perabot yang melibatkan pelaburan prasarana bernilai lebih RM200 juta.

“Kita juga bekerjasama dengan pemain industri tempatan di bawah Persatuan Industri Perabot Sarawak (SFIA). Kesemua usahawan berdaftar ini agak aktif dalam mempromosikan produk perabot sama ada untuk pasaran tempatan mahupun antarabangsa,” katanya.

-- BERNAMA