Malaysia Perlu Manfaatkan Impak Positif Sukan Permotoran Untuk Bakat, Teknologi - Jazeman Jaafar
Oleh Siti Radziah Hamzah
KUALA LUMPUR, 20 Sept (Bernama) -- Lebih dua dekad menceburi dunia sukan permotoran membawa Jazeman Firhan Jaafar, menempuhi pelbagai pengalaman daripada menyertai perlumbaan di pentas antarabangsa dan hampir merealisasikan impian ke Formula Satu (F1), sehinggalah beraksi pada perlumbaan berprestij Le Mans.
Kini, bekas pemandu dalam program pembangunan F1 Mercedes-AMG Petronas itu memanfaatkan pengalaman yang dimilikinya untuk membuka peluang kepada bakat Malaysia dalam sukan permotoran dan industri automotif secara lebih luas.
Melalui Persona Energy Sdn Bhd iaitu syarikat yang ditubuhkan beliau pada 2018, Jazeman, 33, mengendalikan Program Perantisan Pemindahan Teknologi (TTAP) yang memberi peluang kepada jurutera, mekanik dan bakat teknikal lain dari Malaysia untuk menimba pengalaman secara langsung dalam sukan permotoran antarabangsa dan rakan industri.
“Jadi, saya mempunyai bakat-bakat seperti itu. Mereka mempunyai kecekalan dan kemahiran, tetapi tidak berpeluang untuk menyerlah. Oleh itu, saya membuka peluang itu untuk mereka,” kata Jazeman kepada Bernama ketika diwawancara baru-baru ini.
Setakat ini, TTAP telah menjadi detik permulaan kepada perjalanan 95 bakat, dengan kebanyakannya kini membina kerjaya dalam industri berkenaan manakala sebahagiannya lagi memilih untuk melanjutkan pengajian.
Dengan sokongan rakan kerjasama termasuk Porsche, Bosch Engineering dan Yayasan Raja Muda Selangor, program berkenaan memberi pendedahan kepada peserta dalam pelbagai bidang, daripada kereta lumba dan data, sehingga komponen kenderaan serta kejuruteraan.
TTAP berlangsung selama tujuh bulan, dengan para peserta berpeluang untuk menimba pengalaman secara langsung dalam sekurang-kurangnya tiga perlumbaan sepanjang tempoh program itu. Lokasi perlumbaan pula bergantung kepada kalendar perlumbaan, dengan peserta berkemungkinan ditempatkan di acara yang berlangsung di Malaysia, Jepun, Thailand atau Indonesia.
Menurut Jazeman, sebahagian peserta kemudiannya diberikan peluang menyertai perlumbaan tambahan selepas pasukan berpuas hati dengan prestasi mereka.
“Jadi, syaratnya peserta perlu menyertai tiga perlumbaan. Saya akan mengadakan taklimat sebelum setiap acara. Kemudian, kami menilai prestasi mereka sebelum mereka menamatkan program,” katanya.
Jazeman berharap TTAP pada akhirnya mampu berdiri sendiri sekali gus membuka laluan kepada antara 10 hingga 20 bakat Malaysia untuk membina kerjaya dalam industri perlumbaan setiap tahun, sebelum program itu diperluaskan bagi membuka peluang kepada bakat daripada seluruh ASEAN.
Daripada Pelumba Karting Seawal Usia Enam Tahun Hingga ke Eropah
Perjalanan Jazeman dalam dunia sukan permotoran bermula daripada hanya satu kebetulan. Ketika berusia enam tahun pada 1998, rakan Allahyarham bapanya mengajak beliau mencuba sukan karting di Shah Alam.
Bermula dengan kart sewaan, langkah kecil Jazeman di litar itu akhirnya membawa beliau ke pentas kejohanan di peringkat kebangsaan dan Asia. Menjelang usia lapan tahun, Jazeman telah memasang impian untuk menjadi pemandu F1.
Bagaimanapun, ibunya menasihatkan beliau untuk tidak mengabaikan pelajaran.
“Saya perlu berjanji kepada ibu untuk ‘mengaji’ (belajar) terlebih dahulu. Maksudnya, saya perlu menghadiri kelas tuisyen. Kemudian barulah saya dibenarkan ke perlumbaan,” katanya mengimbau kembali kenangan itu.
Pada usia 14 tahun, Jazeman masih belum mencapai had umur minimum untuk menyertai program Formula BMW di bawah Program Pembangunan Bakat Petronas. Namun, beliau berjaya mendapatkan pengecualian daripada Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA) untuk bertanding dalam Formula BMW Asia dan mencari penaja sendiri.
Usahanya membuahkan hasil apabila beliau menjuarai kejohanan itu selepas menewaskan pasukan Petronas. Sehari kemudian, Petronas menghubungi Jazeman dan mengundangnya menyertai program berkenaan.
Pada usia 15 tahun, Jazeman berhijrah ke Eropah dan sebahagian besar daripada sembilan tahun selepas itu dihabiskannya di Eropah demi mengejar impian sebagai pelumba profesional.
“Saya tidak berpeluang menjalani kehidupan seperti remaja lain. Saya terpaksa berpindah (ke Eropah) dan tidak mempunyai ramai kawan di sana. Mungkin hanya ada seorang kawan yang kebetulan sedang belajar di sana.
“Tetapi kemudiannya saya mula membina kenalan dan hubungan dengan individu tertentu dalam dunia perlumbaan, dan hubungan itu akhirnya membuka laluan kepada kerjaya profesional saya ketika itu. Jadi, secara keseluruhannya saya berada di United Kingdom selama sembilan tahun. Memang bukan mudah,” katanya.
Pengalaman Jazeman di Eropah memberinya pendedahan kepada industri sukan permotoran yang lebih maju dan berkembang. Pengalaman itu akhirnya membawa beliau ke peringkat terakhir sebelum berpeluang melangkah ke F1.
Impian F1 Tidak kesampaian
Menurut Jazeman selepas memenangi perlumbaan Formula Renault 3.5 Series di Monaco pada 2015, beliau menerima tawaran daripada dua pasukan F1 iaitu Force India dan Manor. Force India merupakan pilihan yang lebih menarik -- kontrak selama setahun dengan lanjutan kontrak untuk tempoh setahun lagi, bermula sebagai pemandu simpanan sebelum berpotensi mendapat tempat sebagai pemandu utama dalam perlumbaan F1.
Namun, cabaran terbesar ketika itu ialah mendapatkan sokongan kewangan yang diperlukan dalam tempoh yang begitu singkat.
Jazeman berkata struktur pembiayaan yang dicadangkan antaranya melibatkan Petronas, agensi pelancongan dan sukan serta penaja korporat. Bagaimanapun, cadangan itu diutarakan dalam keadaan tekanan politik susulan kontroversi 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan pada masa sama kejatuhan harga minyak pula memberikan tekanan kepada Petronas.
Beliau berusaha untuk memastikan tawaran itu dapat diteruskan, namun pihak yang sepatutnya memberikan sokongan kewangan tidak dapat mengesahkan komitmen mereka sebelum tempoh yang diperlukan oleh pasukan F1.
“Force India kemudiannya memberikan peluang kedua kepada saya untuk mengorak langkah sebagai pemandu simpanan terlebih dahulu. Saya masih menyimpan kontrak itu di rumah ibu. Namun, kami tidak dapat menandatanganinya memandangkan ketika itu tiada mana-mana penaja yang dapat mengesahkan komitmen mereka,” katanya.
Selepas peluang ke F1 tidak dapat direalisasikan, Jazeman mengubah hala tuju kerjaya kepada Mercedes-AMG dan perlumbaan ketahanan, yang menjanjikan peluang untuk beliau membina kerjaya profesional untuk tempoh yang lebih panjang.
“Saya berbangga dan bersyukur kerana diberikan peluang ini. Saya sudah berada begitu dekat untuk mencapai impian itu, namun kami telah melakukan segala yang termampu,” katanya.
Jazeman mengakui mereka sewajarnya berunding dengan lebih baik ketika itu. Namun, beliau berkata, urusan untuk mendapatkan tempat dalam F1 memerlukan individu yang benar-benar memahami kaedah menggabungkan pelbagai elemen yang diperlukan.
Kini, perjalanan untuk ke F1 telah berakhir.
“Jadi, jika anda bertanya kepada saya sama ada saya akan mencubanya sekali lagi, jawapannya ... tidak. Saya rasa saya sudah boleh menerima keadaan yang berlaku ini,” katanya.
Impian Masih Belum Tercapai
Bagaimanapun, Jazeman masih belum meninggalkan dunia perlumbaan sepenuhnya kerana telah menyertai perlumbaan GT dan ketahanan, malah beliau yakin masih mampu beraksi pada tahap yang tinggi.
24 Hours Le Mans merupakan antara perlumbaan yang dianggap sebagai “impian yang masih belum tercapai” baginya. Perlumbaan ketahanan kereta sport utama dunia itu dimenangi pasukan yang berjaya mencapai jarak paling jauh dalam tempoh 24 jam.
Jazeman pernah beraksi dalam Le Mans pada 2018 bersama-sama barisan pelumba Malaysia seperti Weiron Tan dan Nabil Jeffri, dengan menamatkan perlumbaan di tempat keempat dalam kelas LMP2.
“Saya berbangga kerana telah memenangi perlumbaan-perlumbaan besar. Sebenarnya, banyak lagi pencapaian yang boleh disenaraikan.
“Jika esok anda meletakkan saya dalam sebuah kereta lumba, saya akan memberikan prestasi yang terbaik. Tetapi jika F1...tidak,” katanya.
Apa yang telah dialami Jazeman itu turut melahirkan pandangan beliau mengenai pencarian Malaysia untuk seorang lagi pemandu F1.
Beliau percaya Malaysia mempunyai bakat yang berpotensi untuk membina kerjaya dalam pelumbaan profesional walaupun laluan ke F1 semakin mencabar seiring dengan perkembangan sukan itu.
Jazeman berpendapat bahawa Malaysia mempunyai bakat yang mampu membina kerjaya profesional dalam perlumbaan GT, Le Mans dan perlumbaan ketahanan.
Namun untuk mencapai tahap F3, F2 dan akhirnya F1, bukan sahaja mengenai pembiayaan kerana impian ini juga menuntut pengorbanan yang besar sejak usia muda termasuk meninggalkan keluarga dan membina kerjaya di luar negara seperti yang dilakukannya ketika berusia 15 tahun.
Bakat Yang Terlepas Daripada Genggaman Malaysia
Selepas bertahun-tahun menyertai perlumbaan di luar negara, Jazeman berpandangan bahawa, pada masa lalu, Malaysia kurang memberi perhatian secukupnya untuk membangunkan bakat dan tenaga profesional di sebalik jentera perlumbaan.
Katanya Malaysia pernah mempunyai rangkaian hubungan yang dekat dengan F1 menerusi syarikat dan organisasi tempatan, namun sebahagian besar daripada peluang itu lebih tertumpu kepada aspek komersial dan bukannya sebagai platform untuk membangunkan bakat teknikal tempatan.
“Ini kerana kebanyakan daripada penglibatan dalam F1 berunsurkan komersial, bukan untuk memanfaatkan peluang itu bagi pembangunan bakat,” katanya sambil menambah bahawa pada kemuncak penglibatan Malaysia dalam F1, pihak berkepentingan di negara ini mempunyai hubungan dengan empat pasukan F1.
“Kita mempunyai hubungan dengan empat pasukan F1 walaupun kita adalah sebuah negara yang kecil. Namun tiada pemandu F1, tiada jurutera F1. Jadi, saya tidak tahu apakah tujuan utama elemen komersial ini. Pembangunan bakat atau penempatan bakat dalam pasukan sepatutnya menjadi teras utama,” kata Jazeman.
Pada masa sama, beliau juga yakin Malaysia mempunyai tenaga kerja dan bakat teknikal yang berupaya bekerja dalam bidang sukan permotoran pada tahap tertinggi.
“Malah, pasukan perlumbaan, khususnya pasukan perlumbaan antarabangsa gemar mengambil rakyat Malaysia bekerja kerana kita boleh bertutur dalam bahasa Inggeris. Saya yakin bakat-bakat kita boleh melakukannya,” katanya.
Bukan Sekadar Menjadi Tuan Rumah
Persoalan mengenai manfaat yang bakal dinikmati Malaysia daripada penganjuran sukan permotoran antarabangsa kini kembali mendapat perhatian menjelang persiapan Sepang untuk menjadi tuan rumah acara F1 Grand Prix Bahrain Gulf Air di Malaysia bulan depan.
Jazeman berkata Malaysia mempunyai kemudahan dan hospitaliti yang diperlukan untuk menganjurkan acara sukan permotoran bertaraf dunia.
Bagaimanapun, beliau berpendapat kekurangan Malaysia adalah dari segi mendapatkan manfaat jangka panjang yang lebih besar daripada pasukan dan organisasi antarabangsa yang datang ke negara ini.
“Kita mempunyai peluang untuk mendapatkan apa yang kita perlukan. Saya rasa kita tidak memanfaatkan sepenuhnya impak positif ini,” katanya.
Selain manfaat ekonomi kepada sektor perniagaan seperti hotel dan pengangkutan, Jazeman berkata lebih banyak usaha boleh dilakukan dalam aspek pembangunan bakat dan pemindahan teknologi.
Beliau mengambil contoh pemilihan Malaysia oleh FIA sebagai tuan rumah untuk menganjurkan Piala Dunia Karting Antarabangsa sebanyak dua kali, yang menurutnya membuktikan bahawa kemudahan dan ekosistem permotoran akar umbi di negara ini telah mendapat pengiktirafan antarabangsa.
“Ketika ini, apa yang masih kurang ialah kita mungkin agak segan untuk mendapatkan apa-apa yang sebenarnya diperlukan daripada pasukan itu kerana kita mungkin tidak membiayai F1 pada masa ini, tetapi pasukan-pasukan terbaik masih datang ke sini.
“Kita mempunyai peluang untuk mendapatkan apa-apa yang kita mahukan. Saya rasa kita tidak menggunakan sepenuhnya manfaat sampingan yang terhasil," katanya.
Jazeman juga berpendapat bahawa kadangkala Malaysia lebih memberikan penekanan kepada penganjuran perlumbaan besar berbanding membina ekosistem yang menyokongnya.
Beliau berkata terdapat kerjasama atau penyelarasan antara Litar Antarabangsa Sepang, Persatuan Sukan Permotoran Malaysia dan Kementerian Belia dan Sukan, namun pada akhirnya kerajaan perlu menerajui bidang atau aspek yang ingin dibangunkan Malaysia.
“Kita pernah menjadi tuan rumah F1 selama bertahun-tahun tahun di negara ini, tetapi kita tidak menggunakan sepenuhnya peluang itu.
“Pada masa ini kita berminat untuk membawa F1 kembali dan orang ramai pula mahu menjadikannya sebagai acara tetap. Namun, kita perlu benar-benar merancang bagaimana F1 boleh diintegrasikan, namun usaha itu perlu diterajui kementerian.
“(Sekiranya) kita mahu melahirkan jurutera terbaik F1 pada masa depan, usaha itu perlu diterajui kementerian. Jika kita mahu melahirkan pemandu F1 yang seterusnya; usaha itu juga perlu daripada mereka,” katanya.
Bagi Jazeman, TTAP adalah antara usaha untuk mengubah keadaan itu. Beliau mahu program itu diteruskan, membina lebih banyak hubungan dengan pasukan perlumbaan antarabangsa dan akhirnya menyediakan laluan untuk peserta mengembangkan kerjaya di luar Malaysia.
Selepas menghabiskan usia mudanya untuk berusaha mencapai tahap tertinggi dalam sukan permotoran, beliau kini membuka peluang itu kepada insan lain.
“Peluang itu sudah terbuka; anda hanya perlu merebut peluang itu. Itulah satu-satunya perkara yang mampu saya lakukan, dan telah saya lakukan," kata Jazeman.
-- BERNAMA