BERITA TERKINI   Lelaki ditahan disyaki campak anak saudaranya berusia lima tahun ke dalam sungai di Tanjung Sedili, Kota Tinggi, Johor - Polis | Kanak-kanak perempuan lima tahun ditemukan maut dipercayai dicampak ke sungai di Tanjung Sedili, Kota Tinggi, Johor. - Polis | Pada 6 petang ini, ringgit mengukuh kepada 4.0755/4.0800 berbanding dolar Amerika Syarikat daripada 4.0795/0840 pada Jumaat lepas | 

Pengeluar Sarung Tangan Malaysia Dijangka Naikkan Harga US$2.00-US$2.50 Setiap Karton Pada Oktober - RHB IB

KUALA LUMPUR, 21 Sept (Bernama) -- Pengeluar sarung tangan getah Malaysia dijangka menaikkan harga sebanyak US$2.00-US$2.50 setiap karton pada Oktober, dengan satu lagi kenaikan dijangka pada November jika kos lateks nitril terus meningkat, menurut RHB Investment Bank Bhd (RHB IB).

Menurut bank pelaburan itu dalam kemas kini sektor hari ini, sebahagian besar kenaikan pada Oktober adalah perlu untuk menampung kos gas yang tinggi dan industri masih mempunyai lebihan kapasiti.

“Purata harga jualan (ASP) sarung tangan nitril generik telah turun semula kepada US$19-US$20 bagi setiap 1,000 unit pada September berbanding paras tertinggi US$27-US$28 pada Mei,” menurutnya.

Ad Banner

Walaupun mengakui potensi peningkatan pendapatan dalam tempoh terdekat, bank itu mengekalkan pendirian ‘underweight’ terhadap sektor produk getah.

“Jika kenaikan pada Oktober menjadi realisasi sepenuhnya, pendapatan pada suku keempat 2026 dijangka lebih baik manakala dolar AS dan ringgit diniagakan pada RM4.076 berbanding jangkaan pada RM4.00 memberikan faktor sokongan tambahan.

“Bagaimanapun, keuntungan yang tinggi bagi setiap karton untuk beberapa suku tahunan tidak banyak menyumbang kepada nilai intrinsik,” menurutnya.

Ad Banner

RHB IB memaklumkan pengeluar Malaysia hanya dapat menaikkan harga kerana pengeluar dari China turut menaikkan harga mereka.

“Semakan kami menunjukkan harga sarung tangan nitril generik dari China adalah pada US$18.50 setiap karton, iaitu 50 sen lebih rendah daripada harga Malaysia sebanyak US$19 setiap karton untuk pasaran bukan AS. 

“Pada awal Ogos, jurang (harga) adalah antara US$1.50 hingga US$2.00. Harga di China telah meningkat dan ini memberi ruang kepada pengeluar Malaysia untuk turut menaikkan harga.

“Perkara yang sama berlaku apabila harga menurun,” menurutnya.

Bank itu memaklumkan kebimbangan utamanya ialah pengeluar Malaysia tidak mempunyai kawalan terhadap penetapan harga mereka sendiri. 

“Pengeluar China menggunakan arang batu yang lebih murah berbanding gas dan mempunyai bekalan lateks nitril yang lebih terjamin.

“Justeru, mereka boleh menurunkan harga dengan lebih mudah pada bila-bila masa yang mereka kehendaki berbanding pengeluar Malaysia,” menurut RHB IB.

-- BERNAMA