TIV Ogos Industri Automotif Susut Tiga Peratus, Unjuran Kekal Positif - CGS International
Untuk lapan bulan pertama 2026, TIV telah menokok dua peratus dari tahun ke tahun kepada 530,396 unit, disokong oleh jualan daripada Proton, Mazda, BYD dan Jetour.
“Secara keseluruhan, kami percaya kempen promosi dan pengenalan model baharu seperti Proton e.MAS, Saga, Mazda 3, S70 berwajah baharu serta BYD Atto 3 akan menyokong pertumbuhan TIV setakat ini,” katanya.
Sementara itu, CGS International berkata berdasarkan data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) permintaan kenderaan elektrik (EV) tetap kukuh, dengan bahagian pasaran EV melonjak kepada sembilan peratus bagi tempoh Januari-Ogos 2026 berbanding 7.3 peratus yang dicatatkan pada Januari-Julai 2026.
Jualan EV naik 27 peratus dari bulan ke bulan pada Ogos selepas dipacu oleh jualan Proton dan Tesla, katanya.
Melihat ke hadapan, firma penyelidikan itu mengekalkan unjuran TIV 2026 pada 780,000 unit, mewakili penurunan lima peratus dari tahun ke tahun, dengan memberitahu 530,396 unit yang direkodkan dari tahun ke tarikh secara am adalah sejajar dengan unjurannya.
“Kami menjangkakan momentum TIV yang positif pada separuh kedua 2026, dengan pertumbuhan jualan kira-kira dua peratus setengah, disokong oleh promosi akhir tahun dan jualan kereta yang lebih baik secara bermusim,” katanya.
CGS International menjelaskan kenaikan kuota subsidi bahan api bulanan daripada 200 liter kepada 300 liter, berkuat kuasa 1 Sept, juga seharusnya merangsang sentimen pengguna dan pembelian kenderaan.
Bagaimanapun, ia menjangkakan momentum jualan automotif menjadi sederhana pada September disebabkan sesetengah pengguna mungkin menangguhkan pembelian kenderaan sebelum pengumuman Belanjawan 2027 menjelang Oktober depan.
Ia mengekalkan pendirian “beli” ke atas sektor automotif.
-- BERNAMA