BERITA TERKINI   Projek tenaga boleh baharu yang dirancang menerusi program LSS dan CRESS dijangka menambah sekitar 10,000 hingga 11,000 MW kapasiti menjelang 2030 -- PETRA | PETRA, Suruhanjaya Tenaga teliti cadangan pelarasan bahan api automatik berperingkat bagi 2027, pastikan agihan kos bahan api lebih saksama | Penggunaan air bagi pusat data di Selangor, Johor dan Negeri Sembilan diunjur mencecah 445.04 juta liter sehari menjelang 2030 --PETRA | Margin rizab elektrik bagi tempoh 2027 hingga 2035 diunjurkan pada paras 24 hingga 27 peratus berdasarkan mesyuarat JPPPET pada 11 November lepas -- PETRA. | Kerajaan ambil pendekatan tadbir urus berfokus pastikan rakyat dilindungi seiring perubahan industri, pekerjaan susulan perkembangan AI - Fahmi  | 

MIHAS 2026 Dijangka Tarik 50,000 Pengunjung Dari 45 Negara - MATRADE

KUALA LUMPUR, 21 Sept (Bernama) -- Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) ke-22 yang akan membuka tirainya di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) Rabu ini dijangka menarik 50,000 pengunjung dari 45 negara.

Dianjurkan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta diselaras oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), acara itu akan berlangsung dari 23 hingga 26 Sept, menampilkan 1,700 syarikat dan 2,000 reruai.

Dalam satu kenyataan hari ini, MATRADE berkata pelawat perdagangan dan orang awam digalakkan mendaftar menerusi laman web MIHAS, untuk mereka mendapatkan akses sistem AI MIHAS baharu bagi membantu peserta merancang kunjungan mereka ke acara itu.

Ad Banner
Ad Banner

Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Abu Bakar Yusof berkata sistem kecerdasan buatan (AI) itu akan menyediakan setiap peserta berdaftar dengan ejen AI khusus serta sokongan diperibadikan bagi membantu mereka mengenal pasti perniagaan, berinteraksi dengan pempamer dan membina jaringan hubungan yang relevan.

“Kami percaya pendekatan ini akan meningkatkan pengalaman di MIHAS serta menyokong usaha kami mencapai nilai jualan RM5 bilion tahun ini,” katanya.

Menurut MATRADE, sistem AI itu menjadikan MIHAS 2026 antara pameran perdagangan terkemuka Malaysia yang memanfaatkan teknologi, sekali gus membantu perniagaan mengenal pasti peluang yang relevan, berhubung dengan rakan niaga yang sesuai serta berinteraksi dengan lebih berkesan dalam ekosistem halal global.

Ad Banner
Ad Banner
Ad Banner

Platform yang lebih bersepadu itu juga menawarkan padanan perniagaan, sokongan pelbagai bahasa, navigasi pameran, pengurusan mesyuarat serta penglibatan kepada peserta sebelum, sepanjang dan selepas MIHAS 2026.

Program padanan perniagaan utamanya, Program Sumber Antarabangsa (INSP), dijangka memudah cara 4,000 mesyuarat membabitkan 450 pembeli antarabangsa, termasuk 50 pembeli premium, serta kira-kira 600 pengeksport Malaysia.

“Program itu dijangka menyumbang dengan ketara kepada keseluruhan sasaran perdagangan MIHAS 2026,” katanya.

-- BERNAMA