Belanjawan 2027: Pembinaan, AI, Infrastruktur Antara Sektor Dijangka Raih Manfaat - Moomoo
KUALA LUMPUR, 23 Sept (Bernama) -- Belanjawan 2027 yang akan dibentangkan pada 9 Okt dijangka memberi manfaat kepada sektor pembinaan dan bahan binaan, berdasarkan konsensus pasaran semasa yang mengunjurkan peruntukan perbelanjaan pembangunan antara RM85 bilion hingga RM90 bilion, menurut Moomoo.
Platform dagangan dan pelaburan dalam talian itu memaklumkan sektor berkenaan khususnya berpotensi mendapat manfaat daripada kontrak melibatkan hospital, sekolah dan infrastruktur pengangkutan.
Menurutnya, selain bahan binaan tradisional, infrastruktur grid dan air, tenaga boleh baharu serta penyimpanan tenaga juga berpotensi mendapat manfaat daripada perbelanjaan pembangunan.
“Kaunter semikonduktor dan berkaitan kecerdasan buatan (AI) akan terus mendapat manfaat daripada perkembangan pusat data dan gelombang Pelan Tindakan AI Negara.
“Akhir sekali, bantuan bersasar seperti BUDI95 akan menyokong saham pengguna berorientasikan nilai dan mampu milik dengan melindungi kuasa beli asas isi rumah,” menurutnya dalam satu kenyataan.
Bagaimanapun, pengeluar keluli dan tenaga berintensiti karbon tinggi mungkin berdepan tekanan susulan cadangan cukai karbon yang akan meningkatkan kos pematuhan.
Moomoo memaklumkan saham sektor pengguna tidak asas mungkin berdepan tekanan susulan kemungkinan peluasan atau pelarasan kerangka Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), yang boleh menjejaskan kuasa berbelanja golongan kelas pertengahan.
Menurut Moomoo, saham tembakau dan alkohol juga mungkin berdepan ketidaktentuan menjelang Belanjawan berikutan kemungkinan kenaikan duti eksais.
Bagi pelabur, Moomoo memaklumkan kepelbagaian merentasi sektor akan menjadi penting, dengan peluang merangkumi syarikat tersenarai di Bursa Malaysia serta syarikat global yang berkaitan dengan kitaran AI dan semikonduktor.
Moomoo memaklumkan anggaran konsensus pasaran semasa meletakkan jumlah perbelanjaan Belanjawan 2027 sekitar RM438.9 bilion, terdiri daripada kira-kira RM353.1 bilion perbelanjaan mengurus dan RM85.8 bilion perbelanjaan pembangunan.
Angka itu secara amnya selaras dengan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) 2026-2030 yang memperuntukkan purata perbelanjaan pembangunan sebanyak RM86 bilion setahun.
Selain angka keseluruhan perbelanjaan, Moomoo memaklumkan dua bidang dasar utama yang berpotensi mempengaruhi sentimen pasaran dan aliran modal asing ialah subsidi bahan api dan disiplin fiskal, serta percukaian dan hasil kerajaan.
Dari segi subsidi, keupayaan kerajaan mengimbangi peningkatan kos tenaga global dengan disiplin fiskal akan terus diberi perhatian, khususnya selepas kuota subsidi asas BUDI95 dikembalikan kepada 300 liter sebulan pada harga RM1.99 seliter mulai 1 Sept, yang memanfaatkan lebih 16 juta orang.
Dengan bil subsidi bahan api bagi 2026 berpotensi mencecah RM40 bilion, Moomoo memaklumkan keupayaan kerajaan mengekalkan disiplin fiskal sambil melindungi isi rumah akan terus menjadi tumpuan.
Dalam aspek percukaian pula, pasaran tidak menjangkakan pengenalan cukai baharu berskala besar, manakala tumpuan berkemungkinan kekal kepada pengoptimuman kerangka percukaian sedia ada, termasuk Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) serta cukai keuntungan modal ke atas saham tidak tersenarai.
Peningkatan ambang wajib e-Invois daripada RM1 juta kepada RM3 juta hasil tahunan mulai 1 Sept turut memberi kelegaan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS), manakala cadangan cukai karbon yang menyasarkan sektor keluli dan tenaga kekal sebagai perkara yang perlu diberi perhatian.
-- BERNAMA