BERITA TERKINI   Anthony Loke kekal dengan pendirian meletak jawatan Menteri Pengangkutan | PRN Melaka: Permohonan undi pos dibuka mulai hari ini, semua permohonan dibuat secara dalam talian - SPR | Aichi-Nagoya 2026: Atlet karate C.Shahmalarani sumbang emas ketiga negara dalam acara kumite bawah 50kg wanita | 

Penyertaan Sulung Libya Dalam MIHAS 2026 Bakal Rancakkan Dagangan Dua Hala Dengan Malaysia

Oleh Nur Athirah Mohd Shaharuddin

KUALA LUMPUR, 23 Sept (Bernama) -- Penyertaan sulung Libya dalam Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2026 bertujuan meningkatkan perdagangan dua hala di antara Libya dengan Malaysia, kata Pengerusi Pihak Berkuasa Am Pameran dan Persidangan Libya Essam Al-Aoul.

Beliau memberitahu, penyertaan dari negaranya juga akan memperkukuh kerjasama serta memudah cara hubungan perdagangan yang lebih lancar antara kedua-dua negara.

Ad Banner

Jelasnya, penyertaan Libya turut bertujuan memanfaatkan kepakaran pensijilan halal Malaysia terutamanya daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

"Libya turut berhasrat membawa pengalaman yang diperoleh menerusi MIHAS ke negara itu dan pasaran Afrika yang lebih luas memandangkan Libya bertindak sebagai pintu masuk ke benua Afrika," katanya kepada Bernama. 

Beliau berkata demikian ketika ditemu bual dalam program Bernama Mobile Studio bagi membincangkan topik “Pameran di MIHAS 2026 dan Perdagangan Halal Global”.

Ad Banner

Penyertaan Libya dalam MIHAS 2026 berikutan penilaian terhadap pameran halal di seluruh dunia dengan pameran Malaysia itu memenuhi kriterianya dari segi kredibiliti, reputasi dan pertimbangan utama lain sekali gus menjadikannya platform yang sesuai untuk penyertaan negara berkenaan, menurutnya.

“Satu lagi perkara, ini juga merupakan peluang yang sangat baik untuk pempamer dan syarikat dari Libya susulan mereka mempunyai produk yang berkualiti.

“Ini merupakan peluang yang baik untuk mereka menjalinkan hubungan di peringkat antarabangsa dengan syarikat tempatan (Malaysia) dan antarabangsa yang menyertai MIHAS 2026 selain mengetengahkan kualiti produk dari Libya,” jelasnya.

Essam memberitahu Libya juga berharap dapat memudah cara urus niaga perniagaan dan memperkukuh kerjasama antara kedua-dua negara sekali gus membolehkan perniagaan daripada kedua-dua belah pihak beroperasi dengan lebih lancar.

“Produk-produk Malaysia mudah diakses di pasaran Libya selain memiliki reputasi yang kukuh dan baik. Pada masa yang sama, produk Libya juga amat berpotensi dan kami melihat masa depan yang cerah untuk barangan tersebut di negara-negara jiran mahupun di persada antarabangsa,” katanya.

 Bagaimanapun, Essam berkata Libya perlu memanfaatkan kepakaran Malaysia sebagai pemain utama dalam industri halal dan membawa ekosistem berkenaan ke negaranya yang dapat membantu para pengeksport Libya mendapatkan pengiktirafan bagi produk masing-masing di bawah tanda dagang halal di Malaysia.

Beliau turut menegaskan Kerajaan Perpaduan Nasional Libya kini berhasrat membangunkan ekosistem halal di negara itu dengan menugaskan institusi berkaitan untuk meneliti semula peraturan dan dasar yang dapat menyokong pembangunannya selain membolehkan negara itu memanfaatkan pengalaman negara-negara lain.

Essam akan berada di Malaysia sehingga Jumaat ini dan berhasrat untuk melawat beberapa institusi kerajaan bagi meneliti perkara-perkara berkaitan.

MIHAS 2026 bakal dirasmikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 25 Sept, 2026.

Pameran berkenaan berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) selama empat hari bermula hari ini dan sebelum ini dilaporkan menyasarkan potensi perniagaan melebihi RM5 bilion selain memperluas akses bagi produk halal Malaysia ke pasaran antarabangsa.

Dianjurkan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta diselaraskan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), acara itu juga dijangka menarik kehadiran lebih 50,000 pengunjung dari 45 buah negara.

-- BERNAMA