BERITA TERKINI   17 kerusi baharu DUN Sarawak tidak sempat digunakan pada Pilihan Raya Negeri akan datang - Pengerusi SPR | SPR terima 18 bantahan terhadap kajian semula persempadanan negeri Sarawak setakat ini - Pengerusi SPR | 

Institut Pengarah Korporat Malaysia Lantik Sridharan Nair Sebagai Ahli Lembaga Pengarah

KUALA LUMPUR, 24 Sept  (Bernama) -- Institut Pengarah Korporat Malaysia (ICDM) melantik Sridharan Nair sebagai ahli lembaga pengarahnya, sekali gus membawa pengalaman serantau yang bernilai untuk mempertingkat keupayaan lembaga pengarah dalam bidang audit, tadbir urus dan kepimpinan.

Dalam satu kenyataan hari ini, ICDM memaklumkan pelantikan itu sebagai menyokong usaha institut berkenaan untuk memprofesionalkan ahli lembaga pengarah dan jawatan pengarah bagi memperkukuh piawaian tadbir urus dan keberkesanan lembaga pengarah di Malaysia.

Sridharan memiliki lebih 36 tahun kepakaran dalam bidang audit, tadbir urus dan khidmat nasihat perniagaan di seluruh Malaysia, rantau Asia Pasifik dan United Kingdom.

Ad Banner

"Sepanjang kerjayanya, beliau telah memberi nasihat kepada syarikat tersenarai, institusi kewangan dan organisasi multinasional mengenai hal-hal audit, penyeliaan kewangan, tadbir urus, pengurusan risiko dan hal ehwal strategik.

"Pengalaman beliau bekerjasama dengan lembaga pengarah, pemimpin perniagaan dan pengawal selia merentasi pelbagai pasaran akan membawa perspektif serantau dan antarabangsa yang bernilai kepada lembaga pengarah ICDM," menurut kenyataan itu.

Sridharan mempunyai rekod kerjaya yang cemerlang selama 32 tahun di PricewaterhouseCoopers (PwC), dengan jawatan terkininya sebagai Pengerusi PwC Asia Pasifik.

Ad Banner
Ad Banner

Peranan kepimpinan beliau sebelum ini termasuklah sebagai Naib Pengerusi Asia Pasifik (Pasaran), Rakan Kongsi Kanan Rantau PwC Malaysia/Vietnam dan Rakan Kongsi Pengurusan PwC Malaysia.

Beliau juga pernah menganggotai lembaga pengarah Yayasan Pelaporan Kewangan Malaysia selama enam tahun dan kerap menjadi penceramah serta pengulas berhubung tadbir urus korporat, trend ekonomi, kepelbagaian lembaga pengarah, modal insan dan pembangunan bakat.

Pengerusi ICDM Tan Sri Zarinah Anwar berkata: "Pengalaman beliau memimpin PwC Asia Pasifik dan bekerjasama dengan lembaga pengarah, pengawal selia serta pemimpin perniagaan dari sudut peranan kepimpinan luaran dan dalaman akan memperkukuh inisiatif dan sokongan ICDM kepada para pengarah."

-- BERNAMA