BERITA TERKINI   17 kerusi baharu DUN Sarawak tidak sempat digunakan pada Pilihan Raya Negeri akan datang - Pengerusi SPR | SPR terima 18 bantahan terhadap kajian semula persempadanan negeri Sarawak setakat ini - Pengerusi SPR | 

PM Anwar Hargai Usaha China Bantu Malaysia, Negara Lain Dalam Kemajuan Teknologi

Daripada Harlina Samson

HANGZHOU, 24 Sept (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menghargai peranan China dalam membantu Malaysia dan negara lain memacu teknologi baharu.

“Oleh itu, kerjasama dengan China, sebagaimana pengalaman banyak negara, telah banyak membantu usaha kita untuk meneroka teknologi baharu,” kata beliau.

Ad Banner

Melihat WorldSkills Shanghai 2026 yang sedang berlangsung sebagai ‘Sukan Olimpik untuk pertandingan kemahiran teknikal’, Anwar menekankan penyertaan meluas pada peringkat global dan peranan platform itu dalam melahirkan bakat yang sedia untuk menghadapi keperluan masa depan.

“Saya bertemu dengan golongan muda dari seluruh dunia termasuk rakyat Malaysia. Acara ini dianggap sebagai Sukan Olimpik untuk kemahiran teknikal.

“Seramai 1,400 golongan muda diberi peluang untuk didedahkan kepada teknologi baharu,” kata beliau pada majlis perasmian Ekspo Perdagangan Digital Global (GDTE) Kelima di sini.

Ad Banner
Ad Banner

Ekspo selama lima hari yang diadakan di Pusat Konvensyen dan Pameran Besar Hangzhou dirasmikan oleh Perdana Menteri Li Qiang dan merupakan antara platform ekonomi digital utama China yang mengetengahkan AI dan kerjasama global.

 Malaysia diwakili oleh 22 peserta muda melibatkan 21 bidang kemahiran pada pertandingan tersebut. Para peserta adalah dari lebih 65 buah negara dan wilayah.

WorldSkills Competition merupakan pertandingan kemahiran antarabangsa terbesar di dunia yang menghimpunkan golongan muda, pemimpin industri, pendidikan dan kerajaan dari seluruh dunia untuk meningkatkan Pendidikan dan Latihan Teknikal Vokasional (TVET).

 Lawatan kerja selama tiga hari Perdana Menteri ke Shanghai dan Hangzhou berakhir hari ini.

China kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia selama 17 tahun berturut-turut, dengan jumlah perdagangan dua hala mencecah US$113.82 bilion (RM456.68 bilion) untuk tempoh Januari hingga Ogos tahun ini.

 -- BERNAMA