BERITA TERKINI   Perbincangan lanjut cadangan ECRL akan diadakan dengan semua pihak berkepentingan sebelum dibawa ke Kabinet untuk pertimbangan - PM Anwar | Malaysia, China setuju cadangan sambung ECRL dari Kota Bharu ke Rantau Panjang, Kelantan - PM Anwar | Potensi pelaburan dari China merangkumi sektor semikonduktor, AI, robotik, EV, bioteknologi dan peranti perubatan termaju - PM Anwar | Malaysia raih potensi pelaburan bernilai lebih RM28 bilion hasil perbincangan perniagaan dan pertemuan dengan syarikat industri China - PM Anwar | 

Rangkaian Rel, Tenaga Boleh Baharu Bantu Malaysia Tangani Kejutan Minyak Asia Barat

KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) -- Pembinaan rangkaian rel yang komprehensif dan meningkatkan kapasiti boleh baharu dalam skala utiliti boleh menjadi penyelesaian jangka panjang untuk mengurangkan pendedahan Malaysia kepada kejutan tenaga luar, menurut Dr Tengku Muhammad Fa-Iz Petra ibni Almarhum Sultan Ismail Petra.

Langkah ini memerlukan perbelanjaan awam yang besar tetapi ini perlu diimbangi dengan unjuran Kementerian Kewangan bahawa bil minyak semasa telah mencecah kira-kira RM58 bilion.

"Situasi semasa di Asia Barat telah mendedahkan bahawa negara kita kekal terdedah kepada kejutan tenaga luar. Penyelesaian jangka panjang yang mungkin adalah untuk membina rangkaian rel yang komprehensif dan meningkatkan kapasiti boleh baharu dalam skala utiliti," katanya dalam ceramah Distinguished Lecture Series mengenai Situasi di Asia Barat: Apa Ertinya untuk Malaysia dan Ekonomi Global di Institut Diplomasi dan Perhubungan Luar Negeri (IDFR) di sini.

Ad Banner

Tengku Muhammad Fa-Iz Petra berkata Malaysia lebih berjaya dalam mempelbagaikan bahagian bekalan tenaga berbanding bahagian permintaan akhir, sebahagian besarnya disebabkan penggunaan tenaga yang tinggi untuk pengangkutan dan pergantungan ke atas pengangkutan persendirian.

Memetik Kementerian Pengangkutan, beliau berkata bahagian mod pengangkutan awam negara adalah sekitar 20 peratus, bermakna baki 80 peratus masih bergantung kepada kenderaan persendirian.

"Kenderaan persendirian ini kebanyakannya dikuasakan oleh petrol, walaupun kenderaan elektrik (EV) semakin banyak. Pada 2025, 81 peratus kereta yang dijual di Malaysia masih dikuasakan oleh petrol," katanya.

Ad Banner
Ad Banner

Beliau berkata kira-kira 40 peratus minyak mentah Malaysia dibekalkan oleh negara yang penghantarannya perlu melalui Selat Hormuz.

“Adalah penting untuk ambil perhatian bahawa risiko kejutan bekalan tenaga secara tiba-tiba di bahagian dunia ini tidak terlepas pandang pada pentadbiran Malaysia sebelum ini. 

"Beberapa dasar dirangka untuk mengurangkan kelemahan negara kita, termasuk dasar kepelbagaian empat bahan api 1981 dan dasar kepelbagaian lima bahan api 2001. Diharapkan dengan mempelbagaikan jenis atau sumber, secara alternatif, ini boleh mengimbangi kekurangan semasa gangguan bekalan," katanya.

Beliau berkata Malaysia telah mempelbagaikan bekalan tenaganya sejak beberapa tahun lepas tetapi ia telah mengambil bentuk dalam peningkatan pergantungan kepada gas asli dan arang batu berbanding tenaga boleh baharu walaupun terdapat dasar untuk mempromosikannya sejak 2006.

Tengku Muhammad Fa-Iz Petra seterusnya berkata, kesan ekonomi sebenar situasi Asia Barat akan bergantung kepada berapa lama ketenangan ini akan berpanjangan, sama ada trafik kapal di Selat Hormuz kembali ke tahap sebelum konflik dan prospek keamanan yang berkekalan di rantau itu.

-- BERNAMA