Core Proptech Catat Transaksi Hartanah Lebih RM158 Juta Dalam Tempoh 12 Bulan
KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) -- Syarikat teknologi hartanah, Core Proptech Sdn Bhd mencatat transaksi hartanah bernilai lebih RM158 juta daripada lebih 150 unit yang dijual sejak 12 bulan lepas.
Jumlah itu menjadikan transaksi terkumpul sejak pelancaran, mencecah lebih daripada RM265 juta, maklum syarikat itu dalam kenyataan hari ini.
Pada masa sama, prestasi kumulatif syarikat sejak 2023 menyaksikan lebih 240 unit telah terjual dengan lebih 60 peratus daripada unit terkumpul serta nilai transaksi dijana dalam tempoh 12 bulan terkini.
Segmen hartanah kediaman bertingkat tinggi, termasuk kondominium dan pangsapuri perkhidmatan merupakan majoriti atau menyumbang 79.8 peratus daripada aktiviti transaksi dalam tempoh terbabit.
Core Proptech berperanan dengan menghubungkan pemaju hartanah secara terus dengan ejen hartanah berlesen menerusi platform digitalnya.
Ini sekali gus memberi akses kepada ejen berdaftar untuk melihat projek sedia ada selain maklumat projek, butiran komisen dan kemas kini jualan.
Menurut syarikat itu, model jualannya direka bentuk untuk mengurangkan lapisan tidak perlu dalam proses jualan hartanah tradisional dan membolehkan ejen mengekalkan bahagian komisen lebih tinggi daripada jualan mereka.
Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengasas Bersama JJ Liau menyifatkan kejayaan mencapai nilai transaksi melebihi RM158 juta sepanjang 12 bulan lepas sebagai penting bagi syarikat itu selain membuktikan penerimaan ketara terhadap platform itu dalam kalangan ejen hartanah dan pemaju.
“Tumpuan kami sentiasa kepada menjadikan perjalanan atau proses jualan hartanah itu menjadi lebih berstruktur, telus dan mudah diakses dengan menyatukan bahagian penting ke dalam satu platform," katanya.
Beliau berkata seiring dengan rangkaian syarikat yang terus berkembang, pihaknya kekal komited dalam membangunkan infrastruktur yang membolehkan ejen terbabit mengenal pasti peluang, memahami potensi pendapatan selain menguruskan jualan secara cekap.
Setakat 19 Ogos 2026, rangkaian syarikat itu merangkumi 66 pemaju, 115 projek dan 1,235 ejen yang berdaftar.
-- BERNAMA