BERITA TERKINI   Perbincangan lanjut cadangan ECRL akan diadakan dengan semua pihak berkepentingan sebelum dibawa ke Kabinet untuk pertimbangan - PM Anwar | Malaysia, China setuju cadangan sambung ECRL dari Kota Bharu ke Rantau Panjang, Kelantan - PM Anwar | 

IPO SLGC Terlebih Langganan 3.1 Kali Menjelang Penyenaraian Di Pasaran ACE

KUALA LUMPUR, 24 Sept (Bernama) -- Tawaran awam permulaan (IPO) SLGC Bhd mencatat terlebih langganan sebanyak 3.1 kali menjelang penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities.

Dalam kenyataan hari ini, syarikat penyedia khidmat pembinaan bangunan itu memaklumkan bahagian awam telah terlebih langganan sebanyak 4.9 kali manakala bahagian Bumiputera terlebih langganan sebanyak 1.2 kali.

Bagi bahagian kepada orang awam Malaysia yang merangkumi 28 juta saham baharu, SLGC menerima 4,647 permohonan untuk 113.70 juta saham bernilai RM31.8 juta.

Ad Banner

Daripada jumlah itu, bahagian Bumiputera menerima 1,962 permohonan bagi 31.30 juta saham manakala bahagian awam menerima 2,685 permohonan bagi 82.39 juta saham.

Menurut SLGC, dua juta saham yang diperuntukkan kepada pengarah dan kakitangan yang layak melalui peruntukan borang merah jambu telah dilanggan sepenuhnya.

Sementara itu, sebanyak 70.0 juta saham baharu yang diperuntukkan bagi tawaran saham persendirian kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri serta 5.0 juta saham baharu dan 63.0 juta saham tawaran yang diperuntukkan kepada pelabur terpilih, termasuk pelabur institusi, juga telah habis dilanggan.

Ad Banner
Ad Banner

Pengagihan dan pemindahan saham IPO kepada pemohon yang berjaya dijadualkan pada 2 Oktober manakala syarikat itu dijadual disenaraikan pada 6 Oktober.

Menurut SLGC, IPO itu melibatkan terbitan awam sebanyak 105 juta saham biasa baharu pada harga terbitan 28 sen sesaham, mewakili 18.8 peratus daripada modal saham terbitan yang diperbesarkan, sekali gus mengumpul hasil kasar sebanyak RM29.4 juta.

Pengarah Urusannya Yong Zhen Lin berkata sambutan menggalakkan itu mencerminkan keyakinan pelabur terhadap rekod prestasi kumpulan, kemampuan melaksanakan projek dan prospek pertumbuhannya.

“Pada masa hadapan, kami kekal positif terhadap peluang yang tersedia untuk kumpulan terutama dalam segmen perindustrian,” katanya.

Yong berkata pelaburan yang berterusan dalam kilang pembuatan, gudang, kemudahan logistik, pusat data dan pembangunan perindustrian lain dijangka menyokong permintaan terhadap perkhidmatan pembinaan.

Beliau berkata syarikat itu memilih untuk membida projek baharu secara selektif, dan pada masa sama mengekalkan disiplin dalam pelaksanaan projek dan membina rangkaian projek masa hadapannya.

Kumpulan itu menerusi anak syarikatnya, menyediakan perkhidmatan pembinaan bangunan termasuk reka bentuk dan bina, kerja-kerja luaran serta kerja sampingan terutama sebagai kontraktor utama bagi pembangunan komersial, perindustrian dan kediaman.

Sehingga 12 Ogos 2026, SLGC mempunyai nilai perolehan kontrak yang tidak dibilkan bernilai RM1.0 bilion yang akan diiktiraf secara berperingkat dalam tempoh lima tahun kewangan akan datang.

Daripada hasil IPO sebanyak RM29.4 juta, sebanyak RM9.2 juta akan digunakan untuk membeli mesin dan peralatan pembinaan, RM7.6 juta untuk membayar balik pinjaman bank, RM7.5 juta bagi modal kerja dan RM500,000 untuk menaik taraf perisian pengurusan pembinaan.

Lebihan sebanyak RM4.6 juta diperuntukkan bagi anggaran perbelanjaan penyenaraian.

Selepas disenaraikan, SLGC dijangka mempunyai permodalan pasaran kira-kira RM156.8 juta berdasarkan harga sebanyak IPO 28 sen dan modal saham terbitan diperbesar sebanyak 560 juta saham.

M&A Securities Sdn Bhd adalah penasihat utama, penaja, penaja jamin dan ejen penempatan bagi pelaksanaan IPO itu.

-- BERNAMA