BERITA TERKINI   Perbincangan lanjut cadangan ECRL akan diadakan dengan semua pihak berkepentingan sebelum dibawa ke Kabinet untuk pertimbangan - PM Anwar | 

Kerajaan MADANI Tangani Keresahan PMKS Terjejas Persaingan Platform e-Dagang Luar - PM Anwar

Daripada Harlina Samson

HANGZHOU, 24 Sept (Bernama) -- Kerajaan MADANI sedang memuktamadkan langkah susulan bagi menangani secara menyeluruh keresahan peniaga mikro, kecil dan sederhana (PMKS) tempatan yang terjejas akibat persaingan platform e-dagang luar, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata perkara itu telah dibangkitkan secara langsung dalam perbincangan dua hala bersama kepimpinan tertinggi China serta dalam sesi pertemuan perniagaan sepanjang lawatan kerja beliau ke negara itu.

Ad Banner

“Saya memberi jaminan kepada peniaga yang terkesan bahawa Kerajaan MADANI sedang memuktamadkan langkah susulan bagi menangani isu ini secara menyeluruh, dan perkara ini akan menjadi antara keutamaan dalam Mesyuarat Kabinet yang akan datang,” kata beliau dalam hantaran di media sosial pada akhir lawatan kerja ke China.

Anwar berkata beliau menyambut baik komitmen Perdana Menteri China Li Qiang yang bersetuju untuk mengenal pasti kaedah terbaik bagi memastikan PMKS tempatan dilindungi dan tidak terus terjejas.

Menurut Perdana Menteri, pendirian itu turut disokong dengan jaminan daripada syarikat-syarikat gergasi berkenaan termasuk Alibaba.

Ad Banner
Ad Banner

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Misi Diplomasi MADANI di Shanghai dan Hangzhou kali ini turut merekodkan potensi pelaburan bernilai RM28.6 bilion, khususnya dalam sektor berimpak tinggi seperti semikonduktor, pengarusutamaan kecerdasan buatan (AI), robotik, kenderaan elektrik (EV), bahan bateri, optik termaju, bioteknologi serta pembuatan termaju.

Di samping itu, potensi eksport ke China mencatatkan sebanyak RM8.2 bilion bagi tempoh satu hingga tiga tahun.

Anwar berkata siri lawatan itu juga turut memberi pendedahan kepada penerokaan teknologi baharu serta aplikasi AI yang wajar dipelajari dan ditimba kekuatannya daripada kemajuan pesat China.

“Kejayaan lawatan ini telah memperkukuhkan lagi hubungan persahabatan Malaysia-China serta mempelbagaikan kerjasama yang akan melimpahkan lebih banyak manfaat dan kemakmuran buat rakyat kedua-dua negara,” kata beliau.

Perdana Menteri berlepas pulang ke Kuala Lumpur petang tadi selepas menamatkan lawatan kerja tiga hari ke Shanghai dan Hangzhou.

-- BERNAMA