Bubbles O2, Kinza Teroka Kerjasama Di Malaysia
KUALA LUMPUR, 25 Sept (Bernama) -- Jenama air mineral Malaysia, Bubbles O2 dan jenama minuman dari Arab Saudi, Kinza bersetuju untuk meneroka peluang bagi mengeluarkan dan mengedarkan produk Kinza di Malaysia.
Dalam kenyataan bersama hari ini, kedua-dua syarikat itu memaklumkan mereka bertemu di Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2026 dan mempunyai pendekatan yang sama dalam pembinaan jenama, kualiti produk dan pertumbuhan jangka panjang yang mampan.
“Kedua-dua syarikat akan menilai sama ada keupayaan pengeluaran dan pengedaran Bubbles O2 di Malaysia dapat menyokong pengeluaran tempatan dan ketersediaan produk Kinza untuk pasaran Malaysia.
“Perbincangan masih pada peringkat awal dan tiada keputusan atau komitmen dibuat oleh mana-mana syarikat. Sebarang kerjasama akan bergantung pada hasil penilaian komersial oleh kedua-dua syarikat,” menurutnya.
Kedua-dua syarikat kini akan menilai bidang kerjasama yang berdaya maju dari segi komersial dalam aspek pengeluaran dan pengedaran di Malaysia.
Dalam perkembangan berasingan, Bubbles O2 akan meneruskan rancangan untuk mempelbagaikan produknya daripada minuman menggunakan botol polietilena tereftalat (PET) kepada minuman dalam tin sebagai sebahagian daripada strategi pertumbuhannya di Malaysia.
-- BERNAMA