Kerajaan Perkenal Inisiatif MHGN, Perkukuh Kepimpinan Halal Global Malaysia
KUALA LUMPUR, 25 Sept (Bernama) -- Kerajaan memperkenalkan inisiatif Malaysia Halal Global Nexus (MHGN), sebuah strategi komprehensif yang bertujuan memperluas pasaran antarabangsa, memperkukuh rangkaian penggiat industri dan meningkatkan keyakinan global terhadap integriti halal negara.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr. Zulkifli Hasan berkata MHGN dibangunkan menerusi kerjasama di antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang menyediakan tadbir urus dan piawaian halal dengan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).
MATRADE menyumbangkan kepakaran dalam promosi perdagangan antarabangsa.
“Berteraskan slogan ‘Menghubungkan Ekosistem Halal Global’.
"Inisiatif baharu ini menuntut sokongan padu dan sinergi erat daripada semua kementerian, agensi serta pemain industri bagi memastikan produk dan perkhidmatan halal Malaysia terus menguasai rantaian bekalan global secara mampan dan berterusan,” katanya ketika berucap pada Sidang Kemuncak Halal Global (GHaS) 2026.
Sidang kemuncak berkenaan diadakan bersempena Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2026 di sini hari ini.
Zulkifli memberitahu Malaysia muncul sebagai peneraju global yang ketara dalam ekonomi halal sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Beliau menambah pertumbuhan berterusan eksport halal selain perkembangan hab perindustrian dan komersial halal di seluruh negara mencerminkan daya tahan serta daya saing ekosistem halal Malaysia.
“Teras kepada pencapaian ini ialah sistem pensijilan halal Malaysia yang diterajui JAKIM.
“Menerusi rangka kerja pensijilan yang kukuh termasuk pengiktirafan badan-badan pensijilan halal luar negara di pelbagai rantau di dunia, Malaysia membantu mewujudkan rantaian kepercayaan yang mengukuhkan keyakinan antarabangsa terhadap produk dan perkhidmatan halal,” katanya.
Sehubungan itu, Malaysia kekal komited untuk memperkukuh peranannya dalam landskap halal global menerusi piawaian yang diyakini, inovasi, teknologi dan kerjasama antarabangsa yang strategik, tambah beliau.
-- BERNAMA