Anak Syarikat Vantris Energy Peroleh Kontrak Kerja Luar Pesisir Bernilai RM1.8 Bilion
KUALA LUMPUR, 25 Sept (Bernama) -- Anak syarikat milik penuh secara langsung Vantris Energy Bhd (Vantris Energy), iaitu VTEB Offshore Sdn Bhd (VOSB) memperoleh dua pesanan kerja pemasangan dan pengangkutan (T&I) luar pesisir dengan nilai gabungan kira-kira RM1.8 bilion.
Pesanan kerja itu diperoleh daripada Petronas Carigali Sdn Bhd, PTTEP HK Offshore Ltd dan PTTEP Sarawak Oil Ltd (secara kolektif, PTTEP).
Menurut Vantris Energy dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, pesanan kerja pertama itu diperoleh daripada Petronas Carigali, melibatkan kerja-kerja luar pesisir T&I bagi projek SK316 NC3/NC8 Trunkline 7 FAC di bawah kontrak sedia ada bagi penyediaan perkhidmatan T&I bagi kemudahan luar pesisir.
Bagi pesanan kerja kedua pula, Vantris Energy menjelaskan ia diperoleh daripada PTTEP di bawah perjanjian harga sedia ada bagi penyediaan perkhidmatan T&I luar pesisir bagi projek pembangunannya.
“Kerja-kerja itu dijadualkan bermula pada suku ketiga tahun kewangan yang berakhir pada 31 Januari 2027 dan dijangka siap menjelang suku keempat tahun kewangan 2028,” jelas syarikat itu.
Menurut kumpulan itu lagi, pesanan kerja tersebut dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan bermula tahun kewangan 2027 dan seterusnya, serta tidak memberi sebarang kesan kepada modal saham dan struktur pegangan sahamnya.
“Tiada seorang pun daripada pengarah, pemegang saham utama syarikat atau individu yang mempunyai hubungan dengan mereka memiliki sebarang kepentingan secara langsung atau tidak langsung dalam pesanan kerja tersebut,” menurut syarikat itu.
Dalam perkembangan berasingan, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Vantris Energy Muhammad Zamri Jusoh berkata projek itu mencerminkan kekuatan keupayaan pembinaan luar pesisir syarikat tersebut.
“Memandangkan kami terus membina semula dan mengukuhkan nilai perolehan kontrak dalam tangan, tumpuan kami kekal pada pelaksanaan yang berdisiplin, penyerahan yang selamat serta kecemerlangan operasi.
“Keutamaan kini adalah untuk menterjemahkan kejayaan ini kepada prestasi projek yang kukuh, penjanaan tunai yang lebih baik dan asas yang lebih teguh bagi pertumbuhan mampan," katanya.
-- BERNAMA