Jenama Dari Moscow Cari Rakan Kongsi, Pengedar Melalui MIHAS 2026
Oleh Nurunnasihah Ahmad Rashid
KUALA LUMPUR, 25 Sept (Bernama) -- Sebuah jenama dari Moscow sedang giat mencari rakan kongsi dan pengedar di Malaysia serta negara jiran untuk produk halal mereka melalui Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (MIHAS) 2026.
Ketua Pembangunan e-dagang Pusat Eksport Moscow, Sergei Kuznetsov berkata 15 syarikat yang berpangkalan di Moscow sedang mempamerkan produk mereka buat pertama kali melalui gerai kolektif “Made in Moscow”.
“Kami menjangkakan kontrak eksport akan ditandatangani berikutan pameran ini dan jenama-jenama Moscow ini sedang mencari rakan kongsi serta pengedar yang sesuai di Malaysia termasuk negara jiran,” katanya kepada Bernama Mobile Studio di sini hari ini.
Kuznetsov berkata Malaysia merupakan pasaran yang berkembang pesat dengan permintaan tinggi untuk produk makanan berkualiti, khususnya produk halal, dan banyak syarikat dari Moscow yang mengambil bahagian sudah memegang pensijilan yang berkaitan.
Sebagai contoh, Pobeda, yang kebanyakannya mengeluarkan kuih-muih, mempunyai sijil halal yang diiktiraf di Arab Saudi dan Emiryah Arab Bersatu, manakala Ochakovo menghasilkan minuman halal.
“Pempamer lain termasuk pengeluar barangan pengguna, produk makanan dan kosmetik. Antaranya ialah MAKFA, pengeluar pasta terbesar di Rusia.
“Produk mereka merangkumi kuih-muih, pasta dan bijirin sehingga kepada makanan ringan, ikan dan makanan laut, minyak sayuran, kosmetik termasuk produk penjagaan mulut,” katanya.
Kuznetsov berkata MIHAS menarik pembeli dari negara Teluk, Asia Tenggara dan Afrika, membolehkan syarikat Moscow mencapai beberapa pasaran, hanya melalui satu pameran.
“Penyertaan di bawah gerai kolektif Made in Moscow, membantu syarikat kami mengurangkan kos promosi, dengan Pusat Eksport Moscow menganjurkan gerai dan program perniagaan sambil membantu mereka mencari rakan kongsi.
“Bagi sesetengah pengeluar, ini adalah pengalaman pertama mereka menyertai pameran antarabangsa berskala ini, dan kami gembira kerana dapat membantu mereka mengambil langkah sulung ini,” katanya.
Kuznetsov menekankan bahawa eksport bukan sumber, bukan tenaga Moscow ke Malaysia meningkat sebanyak 146 peratus menjelang akhir 2025, manakala bahagian Moscow daripada jumlah eksport Rusia ke Malaysia mencapai 20.2 peratus.
“Matlamat utama kami adalah untuk menunjukkan bahawa pengeluar Moscow bersedia menawarkan produk yang memenuhi piawaian global yang paling ketat seperti halal.
“Saya yakin kerjasama antara Moscow dan usahawan Malaysia akan berkembang, dan pameran ini akan menjadi langkah penting ke arah ini,” katanya.
MIHAS 2026 telah dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia. Ia dianjurkan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta diselaraskan oleh Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).
Acara 23 hingga 26 Sept ini telah menetapkan sasaran perniagaan berpotensi RM5 bilion dan dijangka menarik lebih 50,000 pengunjung dari 45 negara.
-- BERNAMA