Ringgit Mengukuh Berbanding Dolar AS Walaupun Fed Dijangka Naikkan Kadar Faedah
Oleh K. Naveen Prabu
KUALA LUMPUR, 25 Sept (Bernama) -- Ringgit mengakhiri urus niaga Jumaat dengan mengukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), dipacu oleh aktiviti memburu saham berharga rendah walaupun AS dijangka menaikkan kadar faedah utamanya selepas ini.
Pada 6 petang, ringgit di paras 4.0715/0765 berbanding dolar AS daripada 4.0840/0880 pada akhir urus niaga semalam.
Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit mengukuh kepada RM4.0673 berbanding dolar AS pada sesi awal sebelum susut kepada RM4.0743 pada tengah hari dan meningkat semula kemudiannya.
Beliau berkata Indeks Dolar AS (DXY) juga kekal disokong pada 101.182 mata ketika jangkaan kenaikan kadar faedah utama AS kekal ketara.
“Berdasarkan kontrak niaga hadapan kadar faedah, kemungkinan kenaikan kadar faedah pada Oktober dan Disember kini masing-masing di paras 70.9 peratus dan 80.6 peratus iaitu meningkat daripada 55.4 peratus dan 77.6 peratus pada Isnin lepas,” katanya kepada Bernama.
Dalam pada itu, ringgit juga diniagakan kebanyakannya mengukuh berbanding kelompok mata wang utama lain.
Ini termasuk naik berbanding euro kepada 4.6378/6435 daripada 4.6451/6497 pada penutup semalam, meningkat berbanding pound Britain kepada 5.3907/3973 daripada 5.4023/4076 namun rendah berbanding yen Jepun kepada 2.5764/5797 daripada 2.5723/5750, sebelum ini.
Selain itu, ringgit diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang negara ASEAN lainnya pada akhir urus niaga hari ini.
Ringgit mengukuh berbanding dolar Singapura kepada 3.1858/1900 daripada 3.1906/1940 semalam dan naik berbanding rupiah Indonesia kepada 227.4/227.8 daripada 227.9/228.2.
Namun, ringgit susut nilai berbanding baht Thailand kepada 12.2036/2234 daripada 12.1950/2121 semalam dan rendah berbanding peso Filipina kepada 6.52/6.53 daripada 6.51/6.52.
-- BERNAMA