Belanjawan 2027: MAA Cadang Rebat Cukai Pendapatan Individu, Galak Guna xEV Dan Lupus Kenderaan
KUALA LUMPUR, 28 Sept (Bernama) -- Persatuan Automotif Malaysia (MAA) mencadangkan kerajaan supaya memberi rebat cukai pendapatan individu bagi pembelian kenderaan elektrifikasi (xEV) dan pelupusan kenderaan lama secara sukarela menerusi Belanjawan 2027.
Presidennya Mohd Shamsor Mohd Zain berkata persatuan itu mencadangkan rebat cukai pendapatan individu antara RM7,000 dan RM10,000 bagi mempercepatkan penggunaan arus perdana xEV secara meluas khususnya dalam kalangan pembayar cukai berpendapatan sederhana yang berminat memiliki xEV tetapi sensitif terhadap harga.
Menurutnya, cadangan MAA berkenaan dikemukakan kepada Kementerian Kewangan baru-baru ini.
Mohd Shamsor memberitahu pada masa ini tiada subsidi pembelian secara langsung atau rebat cukai disediakan untuk pembeli xEV dan pelepasan sedia ada kebanyakannya terhad kepada peralatan pengecasan.
“Langkah tersebut dapat mengurangkan kos permulaan untuk memiliki xEV dan meningkatkan kemampuan untuk memilikinya,” katanya kepada Bernama.
Mohd Shamsor menjelaskan MAA mencadangkan kerajaan melanjutkan pelepasan cukai pendapatan individu sedia ada sebanyak RM2,500 bagi perbelanjaan pengecasan kenderaan di rumah melepasi 2027.
Beliau berkata langkah ini akan melengkapi insentif sedia ada dari sudut penawaran dengan merangsang permintaan sebenar dalam kalangan pengguna dan bukan hanya bergantung pada insentif kepada pengeluar.
Jelasnya, ia juga menyokong sasaran elektrifikasi Malaysia menjelang 2030 dengan menggalakkan pengguna mempercepatkan keputusan untuk menggantikan kenderaan mereka.
Selain itu langkah berkenaan akan mewujudkan permintaan pasaran yang lebih kukuh terhadap xEV yang dipasang secara tempatan.
"Ia sekali gus menyokong keputusan pengeluar untuk memperkenalkan lebih banyak model berkenaan secara pemasangan komponen terurai sepenuhnya (CKD) atau pemasangan tempatan serta melabur dalam pengeluaran tempatan.
“Langkah ini juga akan meningkatkan penggunaan infrastruktur pengecasan Malaysia yang semakin berkembang sekali gus mewujudkan kitaran positif di antara penggunaan EV dengan pelaburan dalam rangkaian pengecasan,” kata Mohd Shamsor.
Dalam industri automotif, xEV merangkumi kenderaan elektrik hibrid (HEV), kenderaan elektrik hibrid pemalam (PHEV), kenderaan elektrik bateri (BEV) dan kenderaan elektrik sel bahan api (FCEV).
Mohd Shamsor menegaskan MAA mencadangkan program kenderaan tamat hayat yang menawarkan rebat cukai pendapatan individu sebanyak RM5,000 bagi setiap kenderaan yang dilupuskan dan dilupuskan secara sukarela, khusus menyasarkan kenderaan berusia 20 tahun atau lebih.
Inisiatif ini menggalakkan pembelian kenderaan baharu yang dipasang secara tempatan.
Beliau menyatakan langkah ini akan melengkapi program geran padanan sedia ada kerajaan dan memberikan dorongan kewangan yang lebih kukuh kepada pemilik kenderaan berusia untuk menggantikannya dengan kenderaan yang lebih baharu, selamat, menjimatkan bahan api dan mesra alam.
“Program ini juga akan menyokong pembaharuan sesebuah kumpulan kenderaan, meningkatkan keselamatan jalan raya, mengurangkan pelepasan karbon serta merangsang permintaan automotif domestik,” katanya.
Mohd Shamsor menegaskan pelupusan kenderaan mesti dijalankan menerusi kemudahan pelupusan yang diluluskan oleh kerajaan.
Beliau berkata MAA turut berharap kerajaan mempertimbangkan lanjutan Elaun Cukai Pelaburan Hijau (GITA) 100 peratus kepada pelaburan pengendali stesen pengecasan selain mewujudkan dana pembangunan keupayaan pembekal automotif.
Mohd Shamsor memaklumkan pembekal diwajibkan oleh pengeluar peralatan asal (OEM) untuk melabur dalam peralatan khas, ujian, pengesahan, pensijilan dan pengautomasian sebelum menerima sebarang jumlah pesanan pengeluaran yang disahkan atau mencukupi.
Katanya, bagi pembekal yang lebih kecil, pelaburan permulaan itu sukar untuk dijustifikasikan dan dibiayai terutamanya dalam membangunkan komponen baharu berkaitan xEV.
“Ini akan membantu peralihan ke arah xEV apabila pembekal di Malaysia perlu membangunkan keupayaan baharu dalam bidang seperti komponen penjana kuasa elektrik, komponen berkaitan bateri, elektronik, pengurusan haba, bahan ringan serta teknologi automotif generasi seterusnya.
“Pengukuhan pembekal Tier 2 dan Tier 3 akan membantu mengurangkan kebergantungan kepada komponen diimport serta membina rantaian bekalan automotif tempatan yang lebih kukuh,” katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan dijadual membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat pada 9 Oktober.
-- BERNAMA