Belanjawan 2027 Perlu Permudah Peraturan Cukai, Kurangkan Kos Pematuhan -- Bdo Malaysia
Oleh Niam Seet Wei
KUALA LUMPUR, 29 Sept (Bernama) -- Firma audit BDO Malaysia meminta kerajaan menerusi Belanjawan 2027 untuk bertindak mempermudah peraturan cukai dan mengurangkan kos pematuhan bagi meminimumkan kos menjalankan perniagaan di negara ini.
Pengarah Eksekutif merangkap Ketua Penasihat Cukai firma itu, David Lai berkata peraturan dan prosedur cukai yang lebih jelas akan memberi keyakinan lebih ketara untuk perniagaan selain menggalakkan pematuhan secara sukarela tanpa membebankan kerajaan dengan kos fiskal yang besar.
“Sumbangan paling penting Belanjawan 2027 itu nanti adalah berupaya mengurangkan kos menjalankan perniagaan. Kaedah paling jimat kos untuk mencapainya pula bukannya dengan menyediakan insentif tambahan, tetapi dengan mempermudah peraturan itu sendiri,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada Bernama dalam pertanyaan menerusi e-mel mengenai cadangan dan harapan terhadap Belanjawan 2027 yang akan dibentangkan pada 9 Oktober ini.
Elemen SST- GST
Mengulas cadangan gabungan elemen Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) tertentu ke dalam sistem Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST), Lai berkata kerajaan wajar menumpukan langkah yang dapat mengurangkan cukai bertindih dan menambah baik kebolehjejakan berbanding mengambil bulat-bulat mekanisme GST.
Beliau turut mencadangkan agar pengecualian cukai perkhidmatan bagi transaksi antara perniagaan (B2B) dipermudahkan lagi, selain menggunakan data e-Invois untuk padanan invois -- satu elemen struktur GST yang dapat memberi jaminan audit sebenar serta berfungsi secara berasingan daripada mekanisme kredit cukai.
“Rejim cukai jualan dan cukai perkhidmatan ini boleh diselaraskan dari aspek seperti pendaftaran, tempoh cukai, invois, pengumpulan syarikat dan pengecualian dengan kadar cukai diseragamkan kepada beberapa kategori seperti kadar sifar, kadar standard dan khas apabila diperlukan dari segi dasar,” katanya.
Lai berkata perniagaan lazimnya membuat komitmen modal berdasarkan perancangan bagi tempoh tiga hingga lima tahun manakala langkah-langkah percukaian diumumkan dalam belanjawan tahunan sering ditetapkan bagi tempoh satu hingga dua tahun tanpa perancangan atau hala tuju jangka sederhana yang jelas.
“(Kejelasan membabitkan) hala tuju dasar jangka pertengahan seperti sekiranya GST tidak dilaksanakan semula pada kali ini, syarat yang perlu dipenuhi sebelum dipertimbangkan semula atau komitmen membabitkan tempoh pelaksanaannya, boleh menyuntik keyakinan pelabur berbanding satu lagi tahun yang hanya dipenuhi spekulasi,” katanya.
Usaha e-Invois
Menyentuh usaha e-Invois, Lai berkata langkah menaikkan nilai ambang pengecualian e-Invois daripada RM1 juta kepada RM3 juta bagi pendapatan tahunan yang diumumkan pada 30 Ogos 2026, juga mengakui bahawa kos pelaksanaan usaha itu adalah tidak sepadan dalam kalangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).
Namun, pada masa sama beliau mengingatkan jumlah pengecualian yang besar boleh menjejaskan objektif asal sistem itu manakala data yang tidak lengkap berpotensi mengekang ketirisan daripada ekonomi sektor informal.
Lai berkata ini mungkin disusuli dengan usaha penambahbaikan seterusnya, tetapi menekankan bahawa langkah wajar bagi menangani kos pematuhan PMKS bukanlah dengan meningkatkan pengecualian sebaliknya mengurangkan kos untuk turut serta dalam sistem berkenaan.
Menurutnya, langkah itu boleh melibatkan saluran serahan yang dipermudah bagi perusahaan mikro, pengurangan jumlah medan data yang wajib diisi untuk transaksi nilai rendah, penerusan penggunaan e-Invois yang disatukan selain sokongan kewangan atau cukai bagi pelaburan awal dalam sistem itu.
“Perniagaan patut digalakkan untuk melaksanakan e-Invois kerana manfaatnya berbanding sekadar mematuhi bagi mengelak penalti,” katanya.
Duti Setem
Mengenai duti setem, Lai berkata Akta Setem 1949 yang kini memasuki dekad kelapan pelaksanaannya, masih sukar ditafsirkan dan memerlukan penjelasan lebih terperinci berkaitan takrif, pengenaan duti, pengelasan instrumen, pengecualian serta liabiliti bagi mengurangkan pertikaian.
Beliau berkata beberapa kes mahkamah baru-baru ini menunjukkan bahawa penetapan duti setem yang perlu dibayar boleh menjadi rumit kerana jumlahnya bergantung pada pengelasan sesuatu perjanjian di bawah akta berkenaan.
Sebagai contoh, katanya, sesebuah perjanjian boleh dikenakan duti secara ad valorem berdasarkan nilai transaksi atau duti nominal RM10, bergantung pada kategori instrumen berkenaan.
"Ketidakpastian itu menjadi lebih ketara dengan pelaksanaan secara berperingkat sistem taksir sendiri duti setem mulai 1 Jan, 2026, manakala instrumen pindah milik harta akan menyusul pada 2027 kerana sistem itu memindahkan tanggungjawab untuk menentukan pengelasan yang tepat kepada pembayar cukai.
"Perundangan yang tertakluk kepada sistem taksir sendiri perlu digubal dalam bahasa yang boleh difahami dan diguna pakai oleh pembayar cukai tanpa bantuan profesional," katanya.
CGT dan CKHT
Mengenai cukai keuntungan modal (CGT), Lai berkata hubungan antara CGT dan cukai keuntungan harta tanah (CKHT) perlu dikaji semula bagi menangani potensi pertindihan cukai terhadap syarikat yang memiliki harta tanah.
Beliau berkata dalam proses penggulungan secara sukarela oleh ahli sesebuah syarikat pemilik harta tanah, pelupusan atau pengagihan harta tanah boleh dianggap sebagai pelupusan bagi tujuan CKHT di peringkat syarikat manakala pemegang saham korporat pula boleh dianggap melupuskan sahamnya bagi tujuan CGT.
"Transaksi asas yang sama berkaitan harta tanah itu mungkin dikenakan cukai dua kali," katanya.
Beliau berkata pelepasan CGT secara bersasar boleh dipertimbangkan bagi menangani pertindihan itu sekiranya keuntungan berkenaan telah dikenakan CKHT.
Menurut Lai, takrif "pelupusan" bagi tujuan CGT telah dipinda menerusi Akta Kewangan 2025, berkuat kuasa 1 Jan, 2026, untuk merangkumi antara lain penghapusan hak pemegang saham berikutan penggulungan atau pembubaran sesebuah syarikat.
Beliau berkata sejak 1 Jan, 2024, saham dalam syarikat harta tanah yang dipegang oleh pemegang saham korporat turut dikeluarkan daripada skop CKHT dan tertakluk di bawah CGT.
-- BERNAMA