BERITA TERKINI   LTdL 2026: Pelumba Wheeltop Rotor Chengdu Team Petr Rikunov menang peringkat keempat dari Meru Raya ke Cameron Highlands | PM Anwar mahu peserta MADANI Fellowship kuasai ilmu, fahami isu secara menyeluruh dan manfaatkan peluang sepanjang program | PM Anwar cadang peserta MADANI Fellowship diberi peluang ikuti pendedahan di kementerian lain sepanjang tempoh empat bulan program | Negara memerlukan generasi muda miliki kekuatan semangat, kefahaman dan ilmu untuk memacu pembangunan negara — PM Anwar | Tun Dr Mahathir Mohamad dimasukkan ke IJN semalam untuk pemerhatian - Mokhzani | 

BS Freshmart Sasar Buka 35 Cawangan Menjelang 2028

Oleh Kamarul Halim M Kamal

KLUANG, 30 Sept (Bernama) -- Bermula daripada sekumpulan nelayan yang mahu menjual sendiri hasil tangkapan tanpa bergantung kepada orang tengah, pasar raya BS Freshmart kini berkembang dengan pembukaan cawangan ke-29 selain menyasarkan untuk memiliki 35 cawangan menjelang 2028.

Pengarah Urusan (Pentadbiran dan Perundangan) BS Freshmart Sdn Bhd Mohammad Rasul Razuan berkata idea untuk menjual sendiri hasil laut tercetus selepas beliau bersama beberapa nelayan di Endau, Mersing, berdepan pengalaman ditipu orang tengah ketika memasarkan hasil tangkapan mereka.

Ad Banner

Beliau menyatakan kekecewaan itu mendorong kumpulan berkenaan menjual ikan dan hasil laut secara terus di beberapa pasar sekitar Mersing serta Pahang sebelum mengembangkan jualan ke Pasar Borong Pandan di Johor Bahru dan Pasar Borong Selayang, Selangor.

“Pada 2004, selepas mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan kerana dapat menawarkan hasil laut yang segar pada harga berpatutan, kami bersepakat membuka pasar raya sendiri dan cawangan pertama direalisasikan di Mersing.

“Selepas cawangan kedua dibuka, kami turut mendapat kerjasama kerajaan Pahang dalam pembekalan hasil laut terutama ketika musim tengkujuh yang kemudiannya membawa kepada pembukaan beberapa cawangan di negeri itu,” katanya kepada Bernama selepas perasmian cawangan ke-29 BS Freshmart di sini hari ini.

Ad Banner
Ad Banner

Mohammad Rasul memaklumkan syarikat yang kini mempunyai hampir 2,000 pekerja itu terus memberi tumpuan kepada penjualan ikan segar hasil tangkapan sendiri menerusi 28 bot yang berpangkalan di sekitar Mersing.

Katanya selain Johor dan Pahang, BS Freshmart turut mempunyai tiga cawangan di Selangor iaitu Kuala Selangor, Rawang dan TTDI Jaya, selain masing-masing satu di Seri Manjung, Perak dan Gua Musang, Kelantan.

Beliau berkata kumpulan nelayan yang mula aktif sejak 1980-an itu turut memiliki kilang dan kemudahan penyimpanan sendiri dengan kapasiti kira-kira 1,500 tan hasil laut pada satu-satu masa.

“Kita biasanya menyimpan bekalan hasil laut dalam jumlah besar sebagai persediaan menghadapi musim tengkujuh sekitar November hingga Mac apabila aktiviti menangkap ikan terjejas sekali gus memastikan bekalan kepada pengguna tidak terputus,” katanya.

Mohammad Rasul memberitahu pihaknya turut merancang membuka ladang tanaman sayur-sayuran dan projek ternakan lembu bagi membolehkan bekalan sayur serta daging segar diperoleh secara langsung.

Beliau berkata projek itu dirancang di kawasan tengah Semenanjung dan sekiranya berjaya, syarikat akan mempertimbangkan pembukaan cawangan baharu di bahagian tengah dan barat Johor termasuk Kulai.

“Namun tumpuan utama kami ketika ini adalah memastikan ikan seperti kembung, tongkol, selar dan bawal serta hasil laut seperti sotong dapat ditawarkan dalam keadaan segar dan pada harga berpatutan kerana sebahagian besarnya merupakan hasil tangkapan sendiri.

“Pasar raya ini turut menawarkan barangan keperluan harian seperti beras dan minyak masak dan kami akan berusaha memastikan barangan berkenaan turut dijual pada harga mampu milik,” katanya.

Menurut beliau perkembangan BS Freshmart turut mendapat bantuan dan bimbingan daripada Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

Sempena pembukaan cawangan berkenaan, BS Freshmart turut melaksanakan program tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan menyumbang barangan keperluan harian kepada 70 keluarga asnaf di sekitar Kluang.

Majlis perasmian pasar raya itu disempurnakan Pegawai Daerah Kluang Azurawati Wahid.

-- BERNAMA