Gulf Air Kembali Ke KLIA Seiring Peningkatan Permintaan Bagi Perjalanan Udara - Hasbi
SEPANG, 30 Sept (Bernama) -- Penyambungan semula perkhidmatan Gulf Air ke Kuala Lumpur dijangka menawarkan kapasiti tambahan bagi penerbangan antarabangsa berikutan trafik penumpang udara Malaysia diunjurkan mencecah sehingga 109.7 juta tahun ini.
Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah berkata sektor penerbangan Malaysia terus merekodkan permintaan penumpang yang kukuh, dengan penyambungan semula perkhidmatan Bahrain-Kuala Lumpur turut memperteguh kedudukan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebagai hab penerbangan serantau utama.
Beliau berkata lapangan terbang di seluruh negara mengendalikan sebanyak 104.4 juta penumpang pada 2025, meningkat 11.2 peratus tahun ke tahun manakala KLIA merekodkan 63.3 juta penumpang.
Sementara itu, Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia mengunjurkan trafik penumpang udara negara antara 103.8 juta hingga 109.7 juta penumpang pada 2026.
"Kembalinya Gulf Air menyediakan kapasiti tambahan yang tepat pada masanya untuk membantu kita memenuhi unjuran trafik ini serta menampung permintaan yang semakin bertambah daripada pelancong antarabangsa," katanya pada majlis menyambut ketibaan Gulf Air sempena penerbangan sulungnya dari Bahrain ke Kuala Lumpur di Terminal 1 KLIA di sini hari ini.
Hasbi berkata perkhidmatan itu mengembalikan laluan penerbangan penting antara Malaysia dan Bahrain selain meningkatkan kemudahan pehubungan udara antara Malaysia dan rantau Teluk.
Laluan itu juga menyokong strategi kerajaan untuk menjadikan KLIA sebagai hab serantau utama di Asia Tenggara, yang berperanan sebagai pintu masuk antarabangsa utama Malaysia serta pusat transit bagi penerbangan seterusnya ke seluruh negara dan rantau ASEAN yang lebih luas.
Beliau berkata penyambungan semula operasi Gulf Air juga tepat pada masanya ketika Malaysia sedang meningkatkan kesalinghubungan penerbangan antarabangsa sempena Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM 2026) dan membuat persiapan untuk menjadi tuan rumah acara sukan serantau termasuk Sukan Asia Tenggara (Sukan SEA) ke-34 dan Sukan Para ASEAN ke-14 pada 2027.
"Ketika kita memperkukuh momentum bagi TMM 2026 dan membuat persiapan untuk menjadi tuan rumah Sukan SEA ke-34 dan Sukan Para ASEAN ke-14, hubungan penerbangan antarabangsa yang kukuh dengan pasaran sumber utama seperti rantau Teluk amat penting.
“Penerbangan yang mudah dan tersedia pada sepanjang tahun memastikan Malaysia kekal sebagai destinasi menarik dan mudah dikunjungi sama ada untuk tujuan rekreasi mahupun perniagaan,” katanya.
Hasbi berkata Kementerian Pengangkutan bersama-sama Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) memfokuskan kepada usaha membangunkan ekosistem penerbangan yang selamat, berdaya saing dan cekap bagi menguruskan jumlah penumpang yang semakin meningkat, dengan berkesan.
Menurutnya antara aspek yang sedang diperkukuh ialah infrastruktur lapangan terbang, teknologi pengendalian bagasi, pintu imigresen automatik dan pendigitalan terminal bagi memastikan KLIA mengekalkan kecekapan operasi bertaraf dunia, selain memberikan pengalaman yang lancar dan menyenangkan kepada syarikat penerbangan serta penumpang.
Terminal 1 KLIA hari ini menyambut perkhidmatan penerbangan terus baharu Gulf Air dari Bahrain ke Kuala Lumpur, sekali gus mengukuhkan kesalinghubungan Malaysia-Timur Tengah, terutama menjelang Formula Satu (F1) Gulf Air Grand Prix (GP) Bahrain 2026 di Sepang pada 2 hingga 4 Oktober ini.
Perkhidmatan tiga kali seminggu itu dijangka memberikan lebih banyak fleksibiliti dan kapasiti kepada penumpang termasuk peminat sukan permotoran yang berkunjung ke Malaysia untuk menyaksikan perlumbaan F1.
Penerbangan sulung Gulf Air GF158 dari Lapangan Terbang Antarabangsa Bahrain (BAH) menggunakan pesawat Boeing 787-9 Dreamliner menandakan syarikat penerbangan itu kembali beroperasi ke Kuala Lumpur.
Pelancaran itu menjadikan Gulf Air syarikat penerbangan ke-10 dari Timur Tengah yang berkhidmat di KLIA, sekali gus mengembangkan lagi rangkaian syarikat penerbangan antarabangsa di lapangan terbang berkenaan.
Laluan baharu itu turut memberikan akses terus kepada penumpang dari Bahrain dan rantau Timur Tengah yang lebih luas ke Kuala Lumpur serta sambungan penerbangan domestik seterusnya ke destinasi termasuk Langkawi, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.
Majlis hari ini turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan MAHB Datuk Mohd Izani Ghani, Duta Bahrain ke Malaysia Dr Waleed Khalifa Al Manea, Duta Malaysia ke Bahrain Datuk Shazryll Zahiran dan Ketua Pegawai Eksekutif Gulf Air Martin Gauss.
-- BERNAMA