Niaga Hadapan MSM Terjejas Berikutan Lambakan Inventori Dan Permintaan Lemah
Oleh Abdul Hamid A Rahman
KUALA LUMPUR, 30 Sept (Bernama) -- Niaga hadapan minyak sawit mentah (MSM) di Bursa Malaysia Derivatives ditutup rendah hari ini berikutan kebimbangan terhadap lambakan dalam inventori domestik dan permintaan eksport yang lebih lemah.
Peniaga proprietari Iceberg X Sdn Bhd, David Ng berkata inventori domestik kekal tinggi selepas ia menyaksikan peningkatan dalam pengeluaran dan pergerakan keluar stok yang agak perlahan, menambah tekanan kepada harga.
“Permintaan eksport daripada pasaran pengimport utama seperti India dan China kekal tidak bermaya, ini telah mengurangkan sokongan belian,” katanya kepada Bernama.
Ng berkata sentimen berhati-hati dalam minyak sayuran saingan turut mempengaruhi harga MSM selepas kelemahan dalam pasaran minyak makan berkaitan menjejaskan sentimen pasaran secara keseluruhan.
“Pergerakan harga yang lebih perlahan dalam minyak saingan seperti minyak kacang soya dan minyak bunga matahari mengurangkan daya tarikan relatif minyak sawit, mendorong peniaga untuk terus berhati-hati selain mengehadkan minat belian dalam niaga hadapan MSM,” katanya.
Ng menjangkakan harga kekal disokong pada sekitar RM4,550 setan dan rintangan pada RM4,700 setan.
Pada penutupan, kontrak Oktober 2026 turun RM9 kepada RM4,433 setan, manakala November 2026 susut RM9 kepada RM4,523 setan dan Disember 2026 jatuh RM12 kepada RM4,624 setan.
Januari 2027 jatuh RM15 kepada RM4,731 setan, Februari 2027 berkurangan sebanyak RM13 kepada RM4,830 setan dan Mac 2027 turun RM7 kepada RM4,926 setan.
Jumlah dagangan meningkat kepada 131,293 lot berbanding 114,553 lot yang dicatatkan pada Selasa, manakala kepentingan terbuka berkembang kepada 464,043 kontrak daripada 339,820 sebelumnya.
Harga MSM fizikal bagi Oktober Selatan pada RM4,500 setan.
-- BERNAMA